KPDNHEP wujud saluran aduan isu p-hailing

Iklan
Rosol

KUALA BERANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan saluran aduan khas untuk peniaga dan pengguna mengemukakan sebarang isu serta masalah berkaitan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing).

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, mereka boleh mengemukakan aduan melalui e-mel kepada adu.khidmatpenghantarmakanan@kpdnhep.gov.my bagi memudahkan pihak kementerian mengambil tindakan sewajarnya.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, KPDNHEP serius dalam memastikan pemain industri itu menambah baik perkhidmatan dan merangka penyelesaian secara komprehensif untuk mewujudkan ekosistem perniagaan secara menang-menang untuk semua pihak berkepentingan termasuk peniaga dan pengguna.

"Ada peniaga memberitahu bahawa apa yang mereka dapat (bayaran) bercanggah atau berkurangan daripada yang sepatutnya. Tetapi apabila mereka (peniaga) mengadu kepada syarikat p-hailing yang berkenaan, syarikat tersebut mendakwa tersalah kira dan sebagainya.

Iklan

"Jadi kita wujudkan saluran aduan khas tersebut supaya bukan sahaja peniaga malah pengguna yang mempunyai sebarang masalah boleh mengemukakan aduan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di Koperasi Felda Bukit Bading Terengganu (KOBADING) Berhad di Felda Bukit Bading di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Rosol berkata, KPDNHEP menerima 1,903 aduan mengenai perkhidmatan syarikat p-hailing Food Panda Malaysia Sdn Bhd (Food Panda) sepanjang tahun lepas, manakala 946 aduan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Iklan

"Pada 2020 KPDNHEP menerima 30 aduan mengenai GrabFood dan 43 aduan diterima mengenai syarikat p-hailing tersebut sejak Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai khidmat p-hailing, kementerian mengambil langkah proaktif dengan giat mengadakan libat urus termasuk pertemuan dengan dua pemain utama industri itu khususnya Food Panda dan GrabFood bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk kelewatan pembayaran jualan makanan kepada peniaga dan caj komisen yang tinggi.

"Ada syarikat p-hailing mendakwa kelewatan pembayaran tersebut disebabkan masalah sistem mereka. Jadi apabila kita buat libat urus dengan pihak p-hailing, mereka berjanji untuk menambah baik sistem mereka. Ada juga syarikat (p-hailing) yang hendak menurunkan kadar komisen mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, Kementerian Kewangan setakat ini dilihat menyambut baik cadangan pemberian pinjaman mudah kepada penternak ayam yang berhadapan dengan masalah kenaikan kos operasi dan harga dedak ayam.

Menurutnya, pinjaman mudah dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun itu dilihat dapat membantu golongan penternak menstabilkan kos operasi dan pengeluaran ayam seterusnya membantu menstabilkan kembali harga ayam di pasaran.

"Ketika ini fokus kementerian adalah meneliti semua cadangan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam untuk jangka masa panjang kerana tidak mahu isu harga ini berulang pada masa depan,” katanya. - Bernama