Perak kumpul 213.6 tan metrik e-waste

Iklan
Saarani (empat dari kiri) menanam pokok sekali gus merasmikan Taman Hari Alam Sekitar Negara 2021.

LARUT - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak berjaya mengumpulkan 213.6 tan metrik sisa barangan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dalam tempoh 10 bulan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 485 peratus berbanding 44 tan metrik yang dicatatkan tahun lalu menerusi Kempen Pengumpulan Buangan Barangan Elektrik dan Elektronik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejayaan itu terhasil daripada penglibatan 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 25 syarikat selain sokongan daripada tiga kontraktor pengumpulan berlesen di negeri ini.

"Penglibatan sektor industri dalam kempen tersebut pada tahun ini juga meningkat sebanyak 312 peratus, berbanding hanya lapan syarikat yang mengambil bahagian pada tahun 2020.

Iklan

"Perkembangan ini mencerminkan komitmen sektor industri berkaitan pengurusan buangan e-waste di negeri Perak menunjukkan peningkatan yang sangat signifikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Perak di Dewan Majlis Daerah Selama di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamaruddin.

Iklan

Saarani berkata, kempen yang dilaksanakan sejak tahun 2019 ini bertujuan menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya dari buangan e-waste selain meningkatkan kesedaran awam untuk menjaga alam sekitar.

Saarani (tengah) memukul gong simbolik merasmikan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Perak di Dewan Majlis Daerah Selama di sini pada Sabtu.

"Dengan jalinan kerjasama yang menyeluruh ini, pelaksanaan sistem pengumpulan dan pembuangan barangan elektrik dan elektronik di dalam negeri Perak dapat dijalankan lebih selamat, tersusun dan berkesan.

"Orang ramai diminta untuk menghantar bahan buangan e-waste dari rumah ke pusat-pusat pengumpulan secara sukarela dan tidak membuang buangan yang dikawal ini ke persekitaran seperti sungai atau melalui tong-tong sampah domestik sedia ada.

"Ini kerana buangan e-waste adalah bahan bertoksik dan berpotensi mengancam kesihatan selain merosakkan alam sekitar," katanya.

Jelasnya, program itu diharapkan dapat mewujudkan satu jalinan kerjasama antara semua pihak dalam usaha pemuliharaan alam sekitar sejajar dengan hasrat menjayakan 'Perak Bumi Lestari'.

Beliau turut mempertimbangkan untuk memperkenalkan intensif-intensif berkaitan untuk menyemarakkan semangat kerjasama dalam kalangan rakyat bagi menjayakan program e-waste.