JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disarankan agar tidak terus bernostalgia mengenai perkara lama antara UMNO dan Pas.
Merujuk kepada pandangan Mahathir terhadap kerjasama UMNO-Pas dalam blognya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan cerita politik lama itu sudah tidak lagi berlaku dalam Malaysia pasca moden.
"Sedarlah Tun, orang Melayu telah lama melupakan naratif tersebut. Pas telah lama menjadi parti Islam yang ‘sophisticated’. Dengan slogan ‘Islam Untuk Semua’ dan ‘Membangun Bersama Islam’, Pas telah menjadi pergerakan politik yang dihormati.
"Jika tidak, masakan DAP dan PKR pernah bersekutu dengan Pas. Dan Tun sendiri, sebelum pilihan raya lepas, bermati-matian cuba mendapatkan kerjasama Pas menentang BN,” katanya dalam satu ulasan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, cercaan Mahathir kepada Pas telah membuakkan rasa tidak senang pelbagai pihak kerana ia sangat merugikan umat Melayu-Islam khususnya.
"Sifat tertutup dan tidak besar hati pimpinan Tun telah memecah belahkan umat Melayu dalam pelbagai kelompok selama ini,” katanya.
Selain itu, katanya, sudah tiba masanya untuk Mahathir duduk dan merenung situasi politik sekarang, serta tidak menjadikan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai ‘ratib zikir’.
Katanya, naratif ‘1MDB’, ‘kecurian’ mahupun ‘kleptokrasi’ sudah muak didengari rakyat, tatkala kos sara hidup, gaji, perumahan kos rendah dan insentif-insentif pro-kebajikan tidak beransur naik, dihapuskan atau berkurangan.
"Ya, awam akui tindakan mahkamah telah dimulakan. Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan sistem kehakiman untuk menentukannya. Sehingga sesuatu itu terbukti salah, maka kita tidak boleh sepenuhnya menghukum secara total.
"Bukankah itu ‘rule of law’ yang Tun selalu pekikkan? Sudah wujud naratif baharu yang sedang menggantikan ‘kleptokrasi’, Iaitu kerajaan ‘kakistokrasi’ pimpinan Tun M yang merugikan rakyat marginal dan menguntungkan kroni kapitalis semata-mata,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kerjasama UMNO-Pas demi watan bakal mengubah landskap berpolitik dan bernegara.
Katanya, kerjasama itu akan menyatukan orang Melayu pada tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
"UMNO dan Pas tidak ingin lagi membuang masa dengan bercakaran tanpa henti. Telah tiba masanya melakukan kebaikan dan amal soleh untuk bangsa dan tanah air melalui kerjasama politik. Akhirnya Tun, urusan kerjasama UMNO dan Pas adalah urusan kami.
"Biarkanlah kami mengurusnya. Sama ada ia akan berjaya atau sebaliknya, terpulanglah kepada ikhtiar kami. Kami doakan yang terbaik jua untuk Tun dengan jalan bersama DAP yang telah Tun pilih dan dukung,” katanya.