PN tidak akan tarik sokongan terhadap Ismail Sabri

Iklan
Ahmad Faizal

IPOH - Perikatan Nasional (PN) tidak akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meskipun berlaku pertembungan calon dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November depan.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pada pandangan PN, pentadbiran kerajaan ketika ini berjalan dengan lancar menepati semangat Keluarga Malaysia yang mengetengahkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

"Tidak terfikir dan terlintas pun di fikiran kami (tarik sokongan kepada Perdana Menteri) kerana kita nampak kerajaan sedang berjalan dengan baik, malah gagasan Keluarga Malaysia sedang diusahakan dengan meriah.

"Kita lihat everything going very well, Insya-ALLAH kita akan teruskan dan mohon ALLAH SWT permudahkan urusan kita," katanya kepada pemberita ketika hadir dalam program Senamrobik Perdana Peja Trofi 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi di sini pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan, paling penting bagi PN adalah untuk memastikan undi orang Melayu tidak pecah selain penubuhan kerajaan baharu Melaka nanti ditadbir dalam kalangan mereka yang benar-benar mahu memberikan khidmat kepada rakyat dan bukannya mementingkan kepentingan sendiri.

"Saya berpandangan mana-mana pihak yang berhasrat untuk memecahkan undi orang Melayu mempunyai niat yang tidak baik.

Iklan

"Tambahan pula kita tidak pasti sama ada keputusan dibuat (UMNO bertanding sendiri) itu akan merencatkan peluang kepada parti itu (dalam PRN Melaka)," katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian bahawa PN selama ini mengamalkan sikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua parti terutama UMNO yang mempunyai matlamat sama untuk membangunkan negara.

Bagaimanapun katanya, perkara itu terpulang kepada tujuan dan niat parti itu sama ada untuk meneruskan kesepakatan dan kerjasama bersama PN atau sebaliknya.

"Di semua peringkat saya melihat hubungan dengan pemimpin UMNO dalam Kabinet contohnya, amat baik dan saya yakin hubungan ini dapat diteruskan.

"Mungkin ada dalam kalangan pemimpin tak berapa gemar untuk bekerjasama, mungkin satu dua orang yang agak keliru tentang agenda yang sepatutnya dibawakan," ujarnya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Bagaimanapun sehingga kini, keputusan parti itu untuk bertanding secara sendirian masih belum dimuktamadkan.