ATLET Jerman, Lisa Brennauer melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara bagi acara kejar mengejar individu wanita apabila menewaskan rakan senegara, Franziska Brausse pada aksi akhir acara berkenaan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 di Roubaix Perancis pada Sabtu.
Brennauer yang memimpin acara pecut berkenaan sejak dari awal perlumbaan dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Brausse pada aksi akhir berkenaan dan menamatkan perlumbaan dengan catatan masa tiga minit 18.258 saat.
Seorang lagi atlet Jerman, Lea Sophi Friedrich meraih gelaran kedua dengan memenangi acara 500 meter percubaan masa selain turut memenangi acara pecut.
Sementara itu, insiden kecurian basikal dipercayai menjadi penyebab kepada kegagalan atlet Itali pada kejohanan berkenaan.
Insiden berkenaan dipercayai turut mempengaruhi atlet Itali yang menyertai kejohanan berkenaan, dan ia dapat dilihat pada kegagalan atlet wanita, Martina Alzini yang gagal meraih gangsa apabila tewas kepada atlet Jerman, Miekke Kroeger bagi acara kejar mengejar.
Menurut ketua delegasi Itali, Roberto Amadio, pihaknya percaya insiden kecurian 20 basikal (melibatkan 15 basikal trek), yang akan digunakan pada kejohanan berkenaan, dilakukan dengan terancang selain melibatkan pihak yang mahir dan profesional.
"Bagi saya, ia adalah kerja daripada individu profesional dan ia memang terancang.
"Kami tahu jika perkara seperti ini berlalu, ia akan memberikan kami kesulitan untuk kejohanan kali ini dan ini menyebabkan kami memilih untuk menginap di hotel dimana kawasan parkirnya sentiasa berada di bawah kawalan.
"Malangnya, keadaan itu juga tidak dapat mencegah insiden sebegini (curi basikal) berlaku,” katanya.