SEREMBAN - Sambutan perayaan Deepavali kali ini dijangka kembali meriah kembali selepas hampir dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan Little India Seremban mendapati, rata-rata pengunjung mula membuat persiapan awal bagi sambutan Deepavali pada 4 November ini, selain ingin elakkan kesesakan.
Menurut suri rumah, G Shanti, 56, dia sudah membeli baju baru seminggu lalu bagi mengelakkan persiapan saat akhir.
"Saya sudah beli baju baharu awal, nanti senang kita buat kerja lain.
"Hari ini saya ke Seremban untuk membeli barang-barang perhiasan diri dan rumah sahaja," katanya yang datang dari Kuala Pilah.
Pandangan itu turut dikongsi oleh seorang jururawat, T Pramawathy, 32, yang juga membuat persiapan awal bagi sambutan Deepavali kali ini.
Menurutnya, tahun lalu, dia tidak berkesempatan menyambut Deepavali bersama keluarga disebabkan kekangan kerja, selain negara berdepan pandemik Covid-19.
"Alhamdulillah, tahun ini saya dapat sambut raya dengan keluarga, kami rindu nak buat rendang, kari kambing, tose dan makan bersama keluarga.
"Walaupun dapat beraya bersama keluarga, tetapi kami sambut secara sederhana sahaja kerana bulan lalu, ada ahli keluarga kami yang dijangkiti Covid-19 jadi kami masih mengambil langkah berjaga-jaga," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, pelajar, G Risha,17, memberitahu dia lebih suka membuat persediaan sambutan Deepavali lebih awal bagi mengelakkan bersesak dengan orang ramai.
Risha dan kakaknya berhasrat untuk membeli persiapan raya seperti set sari, perhiasan diri dan kelengkapan rumah lebih awal, bagi memudahkan mereka sekeluarga.
"Walau pun tahun ini kita dibenarkan rentas negeri, tetapi kami sekeluarga tidak merancang untuk keluar.
"Ibu dan ayah sudah maklumkan, raya kali ini hanya duduk dirumah sahaja dan menunggu saudara-mara datang ke rumah kami," katanya yang tinggal di Mantin.
Sementara itu, seorang peniaga, Shah Nitin,65, mengakui perniagaanya merosot lebih 50 peratus sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 3.0 lalu.
Bagaimanapun katanya, sejak Negeri Sembilan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, perniagaannya kembali pulih.
"Sejak minggu lalu orang mula datang membeli di kedai, mungkin sebagai persiapan awal sambut Deepavali.
"Hari ni orang ramai juga yang datang ke kedai membeli baju dan kelengkapan raya, dan saya yakin menjelang Deepavali nanti suasana membeli-belah akan lebih meriah," katanya.
Seorang lagi peniaga, S Anbarasan, 56, turut terkena tempias gara-gara pandemik Covid-19 apabila perniagaan yang diusahakannya sejak tiga dekad lalu terjejas.
Namun katanya, pengunjung dilihat kembali sejak awal bulan lalu dan sepanjang minggu ini, mungkin untuk membuat persediaan sambutan Deepavali tidak lama lagi.