SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Johor dan Terengganu akan bermula pada 7 November depan.
KPM dalam kenyataannya berkata, ia susulan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri terlibat ke Fasa Empat berkuat kuasa pada 25 Oktober lalu.
Bagaimanapun, sekolah kerajaan di bawah KPM di Johor dan Terengganu hanya akan memulakan operasinya pada 8 November kerana 7 November depan adalah cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim KPM sempena perayaan Deepavali.
"KPM telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.
"Sehubungan itu, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Johor dan Terengganu terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN pada 25 Oktober 2021.
"Pengoperasian Fasa Tiga PPN ini melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, Tingkatan 6 Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia.
"Ia turut melibatkan kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” jelas kenyataan berkenaan.
Selain itu, ia turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.
Bagaimanapun, institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM beroperasi mengikut takwim masing-masing.
"Kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi Johor dan Terengganu bermula pada 14 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa Empat PPN.
"Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.
"KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” ujarnya.