Suami curang selepas balik haji

Iklan
Selepas pulang mengerjakan haji, perangai suaminya mula berubah dan curang. -GAMBAR HIASAN.

TIDAK seperti 40 tahun lalu, peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah terbuka luas kerana tiada penetapan kuota, selain pengangkutan yang mudah sama ada menggunakan kapal laut atau kapal terbang.

Ketika itu, Zakaria (bukan nama sebenar), 51, dan isterinya, Musalmah (bukan nama sebenar), 46, menerima perkhabaran gembira. Permohonan mereka untuk menunaikan haji diluluskan. Perasaan bukan kepalang kerana sudah lama menyimpan impian ke Tanah Suci.

Iklan
Iklan

Setelah berbincang, Zakaria dan Musalmah memutuskan untuk menggunakan khidmat sebuah syarikat pelancongan terkemuka kerana tertarik dengan pakej ditawarkan.

Sepanjang di Tanah Suci, urusan haji Haji Zakaria dan Hajah Musalmah begitu lancar dan dipermudahkan. - GAMBAR HIASAN.

Iklan

Alhamdulillah, semua urusan ibadah mereka sepanjang di sana bermula daripada berniat, berwukuf, mabit, melontar, tawaf, saie dan tahalul boleh dikatakan agak lancar.​​

Mereka juga dikurniakan kesihatan yang baik, kedudukan kewangan yang kukuh di samping bimbingan mutawif berpengalaman. Malah, hubungan mereka suami isteri langsung tiada masalah. ALLAH SWT memudahkan segalanya.

Iklan

Watak berubah

Pejam celik pejam celik, musim haji pun berakhir. Maka pulanglah mereka dengan hati yang puas kerana berjaya menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Alangkah bahagia mereka apabila sudah mendapat gelaran haji dan hajah. Ia nama panggilan yang mulia dan begitu dihormati.

Sebaik pulang dari Makkah, Hajah Musalmah banyak berubah. Pakaiannya juga semakin mengikut syariah. Dia sebolehnya mahu menghayati Islam sepenuhnya kerana hatinya masih rindu mengingati momen ketika di Makkah.

Namun, berlainan sungguh si suami. Haji Zakaria masih lagi dengan perangai lamanya yang suka bersosial. Bagi Zakaria, dia perlu menjaga imejnya kerana memegang jawatan penting dalam sektor kerajaan. Takut dilabel ketinggalan zaman pula.

Sayangnya, percaturannya silap. Bayangkan, Haji Zakaria berani 'bermain' cinta dengan seorang kakitangan di jabatannya yang bernama Sabariah (bukan nama sebenar). Sabariah sebenarnya sudah berkahwin.

Semua ini gara-gara penampilan baharu isterinya yang tidak lagi mahu berfesyen dan hanya berpakaian menutup aurat. Dia berasa agak terasing.

Rahsia terbongkar

Semakin hari, hubungan Haji Zakaria bersama Sabariah semakin rapat. Bermula dari makan tengah hari bersama, hubungan mereka melarat ke bilik hotel. Kedua-duanya langsung tidak rasa bersalah terhadap pasangan masing-masing.

Dengan kuasa ALLAH SWT, kecurangan Haji Zakaria akhirnya 'kantoi'. Hajah Musalmah menemui resit bayaran hotel di dalam poket suaminya. Meskipun waktu tertera pada kertas itu adalah waktu pejabat, namun perasaan syak tetap menjentik hatinya.

Hajah Musalmah akhirnya meluahkan semua rasa terbuku di hatinya.

Dia juga meminta agar Haji Zakaria melepaskannya kerana enggan sama bersubahat dengan perbuatan maksiat suaminya.

Sebagai isteri, Hajah Musalmah tanpa rasa jemu meminta suaminya bertaubat atas perbuatannya. Namun lelaki itu tetap enggan mengambil pusing dengan nasihat isterinya.

Kisah mereka berpanjangan hingga turun naik mahkamah. Ketika itu, Hajah Musalmah terfikir nasib mereka. Di benaknya timbul persoalan. Mungkinkah suaminya guna sumber wang haram untuk ke tanah suci? Akhirnya mereka bercerai.

Siapalah yang tidak sedih bila perkara ini berlaku pada diri mereka, namun Musalmah belajar untuk reda dan bersangka baik dengan apa yang berlaku.

Semoga kisah ini menjadi iktibar. Jangan sekali-kali leka dengan gelaran yang diperoleh kerana ia bukan jaminan untuk selesa dengan amalan dilakukan.

(Sumber: Datuk Md Daud Che Ngah)

Niat

Mengulas tentang kes itu, pendakwah, Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, kebanyakan umat Islam sangat menghormati tanah haram sewaktu di Makkah.

​​​​​​

USTAZ BAKHTIAR FITRI

"Kerana itulah jemaah haji sangat takut untuk melakukan dosa. Apatah lagi di sana, hanya bersama suami isteri sahaja. Mana mungkin akan berlaku krisis suami isteri ketika berlakunya musim haji," jelasnya kepada Sinar Islam.

Kenapa ada yang kembali kepada perangai asal selepas kembali daripada menunaikan haji?

Kepada soalan ini, beliau menjawab:"Ia kembali kepada soal niat dan tujuan utama menunaikan haji. Niat inilah yang menentukan penerimaan haji mabrur atau tidak.

"ALLAH SWT berfirman:"(Musim) haji adalah beberapa bulan yang diketahui, sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (hubungan kelamin), berbuat fasik dan berdebat dalam masa mengerjakan haji." (Surah Al-Baqarah:197)

Menurut Bakhtiar Fitri, dalam ayat al-Quran itu, jelas ALLAH berpesan tiga perkara dalam musim haji iaitu larangan hubungan kelamin, berbuat fasik dan berdebat.​​

Kepada pasangan suami isteri yang bakal mengerjakan haji, beliau menitipkan pesanan. Ujar beliau, pasangan sangat memerlukan kita sebagai teman untuk sama-sama berubah.

"Berikan nasihat dan bimbingan berterusan agar kekal Istiqamah. Dan istiqamahlah yang menjadi kunci utama kita berterusan berada pada jalan yang benar," jelasnya.