RANTAU PANJANG - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas 969 helai pakaian wanita yang diisi dalam guni bernilai RM38,760 di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Che Da'ah, Gual Tok Deh di sini pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pihaknya melakukan serbuan pada jam 11.30 malam selepas menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan itu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menjumpai longgokan guni yang dipercayai telah ditinggalkan oleh penyeludup.
"Pemeriksaan awal ke atas barangan tersebut mendapati guni-guni itu mengandungi pakaian wanita yang disyaki diseludup dari negara jiran.
"Pihaknya menunggu selama 30 minit, namun tiada seorang pun yang datang menuntut barangan tersebut dan kesemua barangan tersebut kemudiannya dibawa balik ke Kompeni Taktikal Taman Bakti untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Nor Azizan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967.
Katanya, PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dengan memantau kawasan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.