MOSTI bantu B40 melalui projek minyak pokok gelam

Iklan
Ahmad Amzad

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia membantu lebih ramai golongan B40 terlibat dalam perusahaan minyak pokok gelam menerusi dana Malaysia Social Innovation (MySI).

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ini adalah susulan kejayaan projek komuniti yang dijalankan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama belia di Kampung Padang Jejawi, Setiu dan warga Pusat Tahfiz Lil Faizin di Seberang Takir.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, minyak pokok gelam adalah satu sumber kekayaan yang boleh memberi sumbangan ekonomi sekiranya dikomersialkan dengan baik, khususnya untuk golongan B40.

"Sebelum ini perusahaan minyak pokok gelam dibuat secara tradisional, namun setelah melalui kajian saintifik UniSZA, ia boleh dikomersialkan menggunakan teknologi dan mesin canggih.

Iklan

"Bagi kementerian kita akan bantu melalui pensijilan, kemudahan penyelidikan, seterusnya melalui dana MySI," katanya kepada pemberita selepas melawat makmal pengekstrakan minyak pokok gelam Yayasan Inovasi Malaysia di Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) di sini pada Ahad.

Menerusi projek itu golongan belia di Kampung Padang Jejawi dan pusat tahfiz berkenaan menjalankan aktiviti pengumpulan daun gelam, penyulingan minyak dan pembungkusan produk.

Iklan

Mereka juga menerima latihan berterusan daripada UniSZA sehingga mampu mengeluarkan produk akhir seperti produk kecantikan, kebersihan, alahan kulit dan kesihatan.

Sementara itu, Pengarah ESERI yang juga ketua penyelidik projek Profesor Madya Dr Hafizan Juahir berkata, minyak pokok gelam mempunyai potensi yang besar untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, kerana sangat berkhasiat.

"Buat masa ini, kita belum mengkomersialkan minyak pokok gelam secara besar-besaran, hanya untuk pasaran tempatan seperti sabun gelam dan minyak yang sesuai untuk rawatan luka kecil dan kecantikan.

"ESERI akan meningkatkan aktiviti pengeluaran dalam masa terdekat, sekali gus membantu komuniti untuk menjana pendapatan tambahan melalui projek ini dengan memohon dana daripada MOSTI iaitu MySI," katanya. -Bernama