SEPANG - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila dua motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan sebelum terbakar di kilometer 39.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.05 petang.
Iklan
Iklan
"Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA bergegas ke tempat kejadian," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Norazam berkata, dua buah motosikal yang berkonvoi itu terlibat dalam kemalangan dan terbakar.
"Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus kedua-dua motosikal itu," katanya.
Beliau berkata, seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Seorang lagi mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut," katanya.