TAIPING - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas dan melanggar tempat hentian bas di Kilometer 13.6 Jalan Kuala Sepetang-Taiping, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 2.25 petang itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Dzahir, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggangi mangsa bergesel dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun.
Menurutnya, pergeselan dua kenderaan yang dalam perjalanan menghala ke Taiping itu mengakibatkan motosikal mangsa hilang kawalan.
"Keadaan itu menyebabkan motosikal terbabit terbabas ke tepi jalan dan melanggar hentian bas.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
"Siasatan kes diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.