KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa ( Perkasa) menentang habis-habisan kenyataan yang dilemparkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Borhan Ahmad Zakaria berkata, Waytha Moorthy jelas menghina tugas polis ketika berlaku rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tempoh hari.
Menurutnya, pemimpin itu menuduh polis lambat bertindak ketika rusuhan berlaku.
"Tapi terbaru beliau mengeluarkan kenyataan 'u-turn' dengan mengucapkan terima kasih kepada polis.
"Selain itu, Ganabatirau di peringkat awal juga membuat kenyataan berbaur hasutan. Itu adalah fitnah jahat," katanya ketika berucap dalam Himpunan Jihad Perkasa yang dihadiri kira-kira 100 orang di Jalan Raja Alang, Kampung Baharu, di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dewan kecoh, pembangkang bidas Moorthy isu ICERD]
[ARTIKEL BERKAITAN: Ganabatirau mohon maaf secara terbuka]
Beliau berkata, Perkasa konsisten dan istiqamah dengan isu ini dan akan menentang perkara yang menggugat keharmonian.
Mengulas tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Perkasa sekeras-kerasnya akan menentang perkara ini kerana ia menggugat perlembagaan dan kontrak sosial serta menegaskan bahawa ICERD tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.
"Perlembagaan Persekutuan adalah yang paling tinggi, bukannya ICERD. Ratifikasi ini tak perlu diadakan. Jika ICERD diratifikasi, Universiti Teknologi Mara (UITM), Mara, Rejimen Askar Melayu akan terjejas.
"Bila kuasa asing datang ke Malaysia perkara ini boleh dibawa ke mahkamah. Ini jelas dan nyata. Kita tetap tolak ICERD," katanya.
Beliau turut memohon Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948.
"Akta ini perlu dipertahankan kerana akta ini amat penting bagi menjaga keharmonian negara. Hari ini kita lihat penggantungan sementara Akta Hasutan diluluskan di Kabinet," katanya.
Sementara itu, Wakil Wanita Perkasa, Dr Asma Razali mengingatkan agar terus bersatu padu untuk kekal aman dan harmoni.
"Hentikan penghinaan agama, bangsa dan raja. Usah bertikam lidah sesama bangsa dan agama. Kita sayangkan bangsa, agama," katanya.