Maloney waspada muslihat Laos

Iklan
Maloney memberikan arahan kepada para pemainnya semasa sesi latihan sebagai persiapan berdepan Laos pada Isnin. - Foto Football Association of Malaysia

SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22) negara tidak akan memandang rendah keupayaan Laos apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF), pada Isnin.

Pengendali skuad negara, Brad Maloney berkata, biarpun secara keseluruhan para pemain negara sudah bersedia mental dan fizikal serta pernah berdepan Laos, namun tetap menuntut disiplin tinggi dalam kalangan pemainnya kerana menyifatkan lawan kali ini merupakan pasukan yang berbeza.

Iklan
Iklan

"Bagi saya Laos merupakan pasukan yang agak sukar untuk ditewaskan biarpun beberapa kali skuad negara pernah berdepan lawan sama berdasarkan tentangan sengit yang diberikan dalam setiap perlawanan.

"Malah mereka juga sebuah pasukan yang tersusun dan beraksi dengan penuh berdisiplin di sepanjang perlawanan, begitu juga dengan pasukan tuan rumah, Mongolia dan Thailand.

Iklan

"Secara keseluruhannya, kita menghormati kesemua pasukan dan menyifatkan masing-masing mempunyai kualiti yang tersendiri,” katanya.

Untuk rekod, skuad negara yang diundi dalam Kumpulan J selepas menentang Laos dijadualkan berdepan Mongolia pada 28 Oktober sebelum mengakhiri kempen itu menentang Thailand pada 31 Oktober dalam misi memburu tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

Iklan

Sebanyak 15 slot menjadi rebutan bagi 42 pasukan yang bertanding dalam 11 kumpulan melibatkan enam kumpulan bagi zon barat dan lima zon timur.

Pemain skuad B-22 negara giat menjalani latihan sebagai persiapan berdepan Laos pada Isnin. - Foto Football Association of Malaysia

Juara bagi setiap kumpulan akan disertai empat pasukan tempat kedua terbaik termasuk tuan rumah, Uzbekistan akan membentuk 16 pasukan untuk beraksi pada Piala Asia B-23 yang dijadualkan berlangsung di Tashkent pada Jun 2022.

Bagi saingan kelayakan kali ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan tidak menghantar kelompok pemain berusia 22 tahun seperti disyaratkan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) sebaliknya mempertaruhkan skuad B-20 kendalian Maloney.

Sementara itu, Maloney berharap cuaca sejuk dan padang rumput tiruan tidak akan menimbulkan masalah kepada para pemainnya dalam mempamerkan aksi terbaik sepanjang kelayakan kali ini.

Katanya, segala persiapan skuad negara untuk aksi sulung itu berjalan lancar setakat ini dengan pemain sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan situasi cuaca sejuk, padang rumput tiruan.

"Pada mulanya, memang agak sukar apabila kita bertukar padang rumput di mana sebelum ini kita beraksi di padang rumput sebenar dan kini beralih ke padang rumput tiruan.

"Selain itu, kita juga berdepan dengan cuaca sejuk di mana ada pemain yang baru pertama kali berdepan dengan suhu di bawah lima darjah atau enam darjah celsius pada waktu siang.

"Apa pun, itulah perkara yang perlu kita hadapi bagi mengharungi aksi kelayakan kali ini. Kita perlu cepat sesuaikan diri kerana lebih cepat kita sesuaikan diri ia adalah lebih baik untuk persiapan kita,” katanya.