KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan, kuasa beli serta kesejahteraan rakyat terutama B40 dan kumpulan 40 terendah M40 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, malahan seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada 3M iaitu memulih kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan.
Beliau berkata, langkah-langkah seterusnya bagi meringankan beban rakyat mungkin akan diumumkan Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat nanti.
"Walaupun keutamaan kerajaan dalam meringankan beban rakyat semasa Covid-19 adalah membantu B40 tetapi kerajaan juga membantu M40 khususnya mereka yang berada dalam kumpulan M1 iaitu yang berpendapatan antara RM4,850 hingga RM5,880 sebulan.
"Lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion antara bantuan yang turut memanfaatkan M40," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Bersatu-Libaran) yang meminta kerajaan menyatakan inisiatif yang telah ambil untuk menangani isu 20 peratus isi rumah M40 beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40 akibat impak pandemik Covid-19 demi memenuhi sasaran RMK12.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bantuan yang telah diberikan menerusi pakej rangsangan ekonomi adalah seperti Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas Covid, moratorium bayaran balik pinjaman yang memanfaatkan tujuh juta peminjam dan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Bagaimanapun, menurutnya, tanda-tanda pemulihan ekonomi negara semakin kukuh khususnya sejak Ogos lalu umpamanya kadar pengangguran telah jatuh kepada 4.6 peratus dan indeks sektor pembuatan naik 6.8 peratus.
"Apabila ekonomi negara pulih sepenuhnya pada tahun depan lebih banyak perniagaan akan dibuka dan rakyat akan kembali bekerja dan pendapatan rakyat akan meningkat," katanya.