DUNGUN - Keluar masuk hutan Hulu Dungun, di sini dan beberapa kawasan lain di Terengganu bagi mendapatkan pelbagai jenis herba sudah menjadi rutin biasa bagi Pengasas SuzyHoney Herbs (SuzyHoney), Suzimah Hazish, 47, pada setiap hujung minggu.
Pengeluar produk penjagaan kesihatan berasaskan herba itu tidak pernah jemu, malah aktif dan sentiasa teruja untuk memastikan herba digunakan dalam menghasilkan produk SuzyHoney adalah berkualiti tinggi.
"Saya sangat teliti dan menjaga kualiti produk. Saya akan dapatkan sendiri herba-herba utama yang hendak digunakan dan bahan ini dihantar ke kilang untuk diproses bagi menghasilkan produk SuzyHoney.
"Herba di hutan bukan boleh dipetik dan dicabut sesuka hati. Ia tidak boleh diambil sembarangan. Ada cara dan kaedahnya, contohnya diambil ketika waktu dhuha,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Bagi Suzimah, hutan adalah ‘farmasi alam’ dan kaya dengan pokok yang mampu membantu dalam perawatan pelbagai jenis penyakit serta mengembalikan kesihatan badan.
Beliau bertuah kerana suaminya, Mohd Shahabudin Shafie, 49, yang berasal dari Hulu Dungun iaitu sebuah kawasan dipenuhi pelbagai jenis herba turut mempunyai minat yang sama.
"Sejak remaja saya sudah didedahkan dengan pemakanan herba oleh ibu. Contohnya halia baik untuk keluarkan angin dari badan. Kacip Fatimah dan serapat, baik untuk wanita terutama selepas bersalin dan sebagainya.
"Mulanya, saya tidak berniat menjual produk tetapi lebih kepada berkongsi ilmu rawatan menggunakan herba tradisional Melayu kepada masyarakat khususnya generasi baharu.
"Berbekalkan sedikit ilmu yang ada, saya berkongsi petua dengan rakan-rakan dan di media sosial. Dari situlah munculnya permintaan,” katanya.
Hasil 80 produk
Sambutan baik diterimanya mendorong Suzimah meninggalkan industri minyak dan gas (O&G) yang diceburi selama 15 tahun lalu menubuhkan Syarikat SuzyHoney Herbs.
Bermula dengan mengeluarkan herba kering seperti mas cotek, kacip fatimah dan serapat untuk wanita berpantang pada tahun 2015, SuzyHoney Herbs kini menghasilkan lebih 80 produk yang diuruskan 10 pekerja.
Antaranya sabun bidara, sabun kunyit dan sabun herba, set berpantang, minuman herba seperti teh halia dan serai, teh hempedu bumi, madu tualang asli, madu tualang tongkat ali, minuman madu menangis dan minyak aroma terapi.
Terkini, SuzyHoney mengeluarkan minuman Coffee D’tox untuk masalah sembelit menggunakan khasiat buah gelugur, kopi arabica, ekstrak teh hijau dan daun senna pada Jun lalu.
"Saya sendiri mengamalkan Coffee D’tox dan berjaya menurunkan berat badan dari 78 kepada 58 kilogram. Ini membuktikan ketelusan saya dalam menghasilkan produk berkualiti, bukan tangkap muat demi keuntungan semata-mata,” katanya yang terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan menuntut ilmu tentang herba dan perbidanan.
Pakar herba di Langkawi, Allahyarham Dr Abd Ghani Husin merupakan antara guru Suzimah selain beberapa bidan kampung dan orang asli di Pahang serta Perak yang mengajar jenis herba, petua lama dan rahsia pokok di hutan.
Jana ekonomi
Suzimah turut berkongsi ilmu perbidanan dengan lebih 1,500 stokis dan ejen SuzyHoney di seluruh negara.
Penekanan terhadap ilmu perbidanan dan perubatan tradisional Melayu menjadi kelebihan stokis SuzyHoney, malah kebanyakan mereka adalah tukang urut.
Produk keluaran SuzyHoney menggunakan seratus peratus herba tanpa racun atau bahan terlarang dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mempunyai sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
SuzyHoney turut bekerjasama dengan sebuah syarikat ladang herba di Hulu Dungun dan 10 penduduk di kawasan itu membekalkan pelbagai jenis herba secara tetap bagi menjamin kualiti produk.
Selama enam tahun dalam pasaran, Suzimah berjaya membantu wanita khususnya suri rumah, ibu tunggal dan golongan B40 menjana ekonomi sebagai ejen SuzyHoney hingga memperoleh pendapatan mencecah lima angka sebulan.
Malah, di saat majoriti perniagaan dan aktiviti ekonomi merudum sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19, namun jualan SuzyHoney meningkat lebih 60 peratus.
"Semua produk keluaran kami mendapat permintaan tinggi, setiap pengeluaran sentiasa laris dan tidak sempat disimpan lama. Jadi tidak hairanlah jika ada yang mampu membeli rumah, kereta dan emas hanya dengan menjadi ejen SuzyHoney.
"Sasaran kami membantu 20,000 wanita menjana pendapatan sendiri hanya dari rumah. Kami mengalu-alukan sesiapa saja yang berminat menjadi ahli keluarga SuzyHoney dengan modal serendah RM300.
"Setiap ejen akan dibimbing sehingga mereka boleh menjana pendapatan sama ada dari segi teknik jualan dalam talian, pemasaran dan produk. Kita beri ilmu dari zero hingga menjadi hero,” katanya.
SuzyHoney Herbs yang menggunakan tagline Resipi Mak Bidan Hutan turut dipasarkan ke Indonesia dan dijangka melebarkan sayap ke Timur Tengah.
"Kita mahu memberi kesedaran tentang kehebatan herba dan kembalikan kegemilangan amalan perubatan perbidanan tradisional Melayu ke serata dunia. Saya yakin SuzyHoney platform tepat untuk semua ini direalisasikan,” katanya.
Profil