Terubat rindu, pelajar gembira kembali ke sekolah

Iklan
Guru SMK Paya Besar berada di pintu pagar sekolah bagi memastikan pelajar mematuhi SOP ditetapkan sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada Isnin.

KUANTAN - Pelajar Tingkatan Tiga dan Empat yang kembali bersekolah pada Isnin teruja menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka meskipun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di sini mendapati, rata-rata pelajar berkenaan dilihat gembira pada hari pertama mereka kembali ke sekolah secara penggiliran selepas hanya menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak Mei lalu.

Kelihatan ibu bapa mula menghantar anak masing-masing seawal jam 6.40 pagi dan pelajar kemudian diarahkan mejalani pemeriksaan suhu badan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Iklan

Muhammad Danish Hakimi

Seorang pelajar, Muhammad Danish Hakimi Jeefari Tan, 16, berkata, kesempatan kembali ke sekolah adalah perkara paling dinantikan kerana dia rindu untuk belajar secara bersemuka semula.

Iklan

Menurutnya, sesi PdPR sebelum ini menyeronokkan, namun sukar untuk memahami sesuatu subjek secara jelas daripada guru.

"Saya memang menghitung hari-hari untuk ke sekolah, tapi alhamdulillah hari ini (Isnin) dapat saya jejak kaki ke sekolah untuk kali pertama.

"Terus terang, saya sangat merindui suasana pembelajaran bersama rakan-rakan di dalam kelas. Bila dapat masuk sekolah, perasaan memang gembira," katanya ketika ditemui di luar pekarangan SMK Paya Besar pada Isnin.

Alif Syakirin

Bagi, Alif Syakirin Zulkiflee,15, kelas secara bersemuka juga lebih menyeronokkan berbanding PdPR, namun pematuhan SOP perlu bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, persiapan awal dilakukan selepas dimaklumkan sekolah akan dibuka secara penggiliran bagi mengelakkan situasi panik pada hari pertama.

"Saya suka ke sekolah kerana lebih dekat dengan guru. Jika ada perkara yang kurang difahami, dapat terus bertanyakan kepada guru.

"Hari ini, saya bangun seawal jam 5.30 pagi bagi mengelak lewat untuk ke sekolah pada hari pertama," katanya.

Zalikha Amirah

Pelajar, Zalikha Amirah Ab Aziz, 16, turut menyatakan rasa gembira kerana dapat bertemu semula dengan rakan sekelas.

Katanya, malah sesi pembelajaran secara bersemuka padanya lebih mudah berbanding PdPR.

"Apabila kita belajar di rumah, sukar untuk fokus kerana banyak perkara yang menyebabkan perhatian pada kelas terganggu, ia memang antara cabaran yang perlu dihadapi apabila belajar secara PdPR.

"Walaupun hari ini dapat kembali bersekolah, keluarga mengingatkan untuk sentiasa menjaga SOP, menjaga penjarakan fizikal untuk tidak berada terlalu rapat dengan kawan ketika berada di dalam kelas atau pada waktu rehat," katanya.

Sementara itu, Azizah Arzan, 15, turut berkongsi pendapat sama dan gembira dapat kembali menjalani sesi persekolahan secara bersemuka berbanding kelas secara dalam talian kerana ia lebih efektif.

"Selepas lebih tiga bulan mengikuti kelas secara dalam talian, saya lebih memilih belajar di dalam kelas secara bersemuka di sekolah kerana ia lebih mudah.

"Lebih-lebih lagi apabila menjelang musim peperiksaan kerana perlu membuat persiapan rapi dan betul-betul memahami pembelajaran untuk setiap subjek," katanya.

Bagi ibu bapa pula, sebahagian yang ditemui berpendapat keputusan kerajaan membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka adalah tepat walaupun masih timbul rasa bimbang memandangkan situasi jangkitan Covid-19.

Ruzi Awang

Ruzi Awang, 53, berkata, walaupun situasi Covid-19 negara kini bertambah baik dan majoriti rakyat sudah menerima vaksin, namun dia tetap bimbang sekiranya wujud jangkitan di sekolah.

Katanya, walaupun kebanyakan pelajar sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, pematuhan SOP secara ketat perlu dilakukan di sekolah.

"Apabila kerajaan umum membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka, saya sebagai ibu berasa agak bimbang tetapi kami tiada pilihan untuk menghantar semula anak ke sekolah.

Pelajar perlu membuat pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki kelas masing-masing.

"Tapi saya mengingatkan dia supaya betul-betul menjaga SOP yang ditetapkan ketika berada di sekolah," katanya.

Bagi Mohd Anizan Ibrahim, 38, dia berpendapat pembukaan semula sekolah adalah keputusan yang baik.

Jelasnya, ini kernaa anaknya dapat lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran apabila berada di sekolah berbanding di rumah.

"Belajar di rumah kurang berkesan, lebih baik anak belajar secara bersemuka di sekolah namun kita harap pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan dapat memastikan segala SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi semua pihak," katanya.