KUALA TERENGGANU – Bank Rakyat melalui inisiatif zakatnya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melaksanakan kutipan wakaf bagi mewujudkan pusat rawatan hemodialisis di Kuala Terengganu.
Pusat rawatan tersebut akan beroperasi di sebuah rumah banglow berkeluasan 700 meter persegi lengkap dengan kawasan parkir di Taman Alamanda, Jalan Sultan Omar disumbangkan oleh seorang pewakaf yang diubahsuai sebagai pusat dialisis.
Lebih menarik, pusat hemodialisis itu menepati syariah dengan katil diletakkan pada kedudukan mengadap kiblat bagi memudahkan pesakit menunaikan solat dan beribadah ketika menerima rawatan ekoran tempoh dialisis yang memakan masa antara tiga hingga empat jam.
Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak berkata, objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan kutipan dana wakaf melalui saluran perbankan yang inovatif dan efektif dan ia merupakan sebahagian daripada projek myWakaf yang diterajui Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dengan usahasama enam institusi perbankan Islam.
"Perkhidmatan yang terhad di hospital kerajaan dan pusat hemodialisis sedia ada selain penambahan bilangan pesakit setiap tahun menyebabkan inisiatif ini dilihat sebagai langkah relevan.
"Kita harap, pembangunan projek berimpak tinggi seperti ini dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat dan ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bank untuk memberi balik manfaat kepada masyarakat terutamanya pelanggan setia kami,” katanya dalam satu sidang media di Primula Beach Hotel, di sini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran dan Pembangunan Maidam, Saidi Salleh@Sulong.
Mohd Zamerey berkata, pusat hemodialisis yang dijangka beroperasi pada tahun ini memerlukan kos sebanyak RM750,000 berupa mesin dan kelengkapan dialisis dan setakat ini, pihaknya sudah merekodkan sumbangan sebanyak RM80,000 melalui JomPAY.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan individu atau institusi yang berminat untuk menyumbang dana untuk projek wakaf ini melalui saluran pembayaran JomPAY atau hadir ke cawangan Bank Rakyat berhampiran atau hubungi pusat panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454.
Sementara itu, Saidi berkata, walaupun berkonsepkan patuh syariah, pusat hemodialisis itu terbuka kepada semua pesakit buah pinggang yang ingin menjalani dialisis termasuk bukan Islam.
"Dengan konsep wakaf, pesakit dalam kategori asnaf boleh dapatkan rawatan secara percuma. Bagi mereka yang tidak berkemampuan kita akan tengok bayarannya macam mana bergantung kepada sumbangan dana.
"InsyaALLAH pusat ini beroperasi tahun ini dan kini kita menunggu kelulusan lesen dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dianggarkan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan,” katanya.