SHAH ALAM - Amalan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan pandangan serta menghargai kelainan pendekatan dan kaedah penting untuk menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, suara yang berbeza sewajarnya diberi ruang untuk boleh diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya.
"Jadikan iktibar hikmah kepimpinan Rasulullah SAW, tanpa perlu menggunakan kekerasan, tetapi melalui contoh teladan yang baik.
"Ia telah berjaya mengubah pendirian Sayidina Umar ibni Khatab, Khalid ibni Walid dan Abu Sufyan daripada seteru menjadi sahabat yang sedia berkorban harta dan nyawa berjuang bersama baginda,” titah baginda pada Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Dewan Seri Bendahara Istana Negara, Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, baginda bertitah, tugas Ketua Utama Negara yang dipertanggungjawabkan bakal berakhir jam 12 tengah malam ini.
Sultan Nazrin turut menzahirkan terima kasih dalam kesibukan tugas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat mengambil kesempatan untuk mengadakan istiadat selamat berangkat.
"Semoga ALLAH SWT sentiasa melimpahkan nur penyuluh membantu Yang Amat Berhormat melakukan yang makruf dan mendirikan dinding penghalang daripada dipengaruhi melakukan yang mungkar.
"Semoga Yang Amat Berhormat dikurniakan hidayah dan kekuatan ketika dihempas badai ujian dan disemaikan rasa syukur dan takwa ketika berada di puncak kejayaan,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak bertitah semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai.
Baginda bertitah, Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar dan menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan seadil-adil perimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana.
"Orkestra yang besar mengandungi pelbagai instrumen yang memiliki pelbagai bunyi. Lebih besar orkestra, lebih banyak instrumen dihimpunkan. Setiap instrumen memiliki bunyi tersendiri, dengan gaya mengeluarkan bunyi yang berlainan, sama ada secara tiupan, gesekan, petikan, tekanan atau pukulan.
"Tidak ada instrumen yang dianggap tidak penting, malah setiap instrumen dilihat sebagai aset tambahan yang akan memperkayakan orkestra. Pemimpin orkestra yang hebat menghargai setiap bunyi daripada setiap instrumen, lebih banyak instrumen, lebih banyak bunyinya, lebih hebat pula melodinya jika berjaya diharmonikan.
"Pemimpin yang tidak ada instrumen yang dianggap tidak penting, malah setiap instrumen dilihat sebagai aset tambahan yang akan memperkayakan orkestra. Pemimpin orkestra yang hebat menghargai setiap bunyi daripada setiap instrumen, lebih banyak instrumen, lebih banyak bunyinya, lebih hebat pula melodinya jika berjaya diharmonikan,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, konsep keluarga, bukan asing tetapi telah sedia berakar dan subur meranting dalam budaya bangsa serta terkandung dalam ajaran Islam.
Baginda bertitah, masyarakat Melayu turut mengutamakan ikatan persaudaraan dalam semangat kekeluargaan seperti yang terserlah dalam bidalan Melayu ‘Biduk berlalu kiambang bertaut’, ‘Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga’ dan ‘Air dicencang tidak kan putus’.
"Semangat kekeluargaan turut membentuk budaya menghargai orang-orang terdahulu yang pernah berjasa, dan budaya tidak bersifat kacang lupakan kulit.
"Budaya menghargai pemimpin terdahulu diserlahkan melalui sifat kekeluargaan Rasulullah SAW ketika bertemu Rasul-rasul terdahulu semasa peristiwa Israk Mikraj.
"Meskipun baginda berstatus penghulu segala Rasul, namun baginda memperlihatkan sifat rendah diri, menghormati pandangan Rasul-rasul terdahulu yang menasihatkan baginda untuk memohon ihsan Ilahi, mengurangkan kewajipan mendirikan solat daripada lima puluh waktu kepada lima waktu sehari semalam,” titah Sultan Nazrin.