ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak mengesan sebarang kejadian runtuhan baharu di sekitar kawasan Gunung Jerai selepas hujan lebat dalam tempoh tiga jam pada Rabu.
Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, pihaknya ada melakukan pemantauan di cerun-cerun berisiko sepanjang jalan ke puncak Gunung Jerai.
"Bagaimanapun, hasil pemantauan awal yang dibuat didapati tiada runtuhan baharu di lokasi seperti jalan ke puncak Gunung Jerai, Sungai Titi Hayun, Sungai Batu hampar dan Tupah.
"Hanya berlaku kejadian hakisan tanah pada cerun dan tebing sungai akibat aliran air deras disebabkan hujan lebat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan perubahan struktur tanah di tiga lokasi peranginan di Yan termasuklah Titi Hayun, Seri Perigi serta Batu Hampar menyebabkan ia tidak selamat dikunjungi.
Exco Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga dan Kerja Raya, Datuk Suraya Yaacob berkata, kejadian kepala air pada 18 Ogos lepas dan banjir kilat pada 20 Oktober lalu yang melanda kawasan terbabit telah memberi kesan terhadap struktur tanah dan aliran sungai.
Hujan lebat yang berlaku lewat petang hingga malam pada 20 Oktober lalu turut menyebabkan berlaku tanah runtuh di Kilometer 48.4 Jalan Tanjung Jaga mengakibatkan laluan Tanjung Jaga ke Tanjung Dawai ditutup sementara waktu.
Hujan lebat melebihi 10 milimeter (mm) itu juga mengakibatkan beberapa kampung termasuklah Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Acheh, Kampung Telok Mat Acheh dan Kampung Lubok Boi di kaki Gunung Jerai dan sepanjang Sungai dinaiki air.
Pada 26 Ogos lalu, 47 kesan runtuhan tanah pelbagai saiz dikesan JMG di beberapa lereng dan puncak Gunung Jerai dalam tempoh seminggu selepas kejadian banjir dan fenomena kepala air di gunung terbabit.
Daripada 47 lokasi runtuhan itu, 25 runtuhan tanah dikesan di kawasan Titi Hayun, 10 di Batu Hampar, 10 di laluan puncak gunung dan dua lagi dikesan di Tanjung Jaga serta Lembah Bujang.