MELAKA - Seorang guru wanita maut dalam kemalangan di Simpang Tiga Alor Gajah Lama, berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, di sini pada Isnin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Sakura @ Muna Sakura Muhammad Perang, 54, yang mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kereta Honda City yang dipandu mangsa dari arah Alor Gajah ke SMK Durian Tunggal sebelum dirempuh sebuah lori jenis Hino 700 yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun hingga menyebabkan kenderaan mangsa terseret sejauh 6.2 meter.
Menurutnya, akibat rempuhan itu mangsa yang memandu bersendirian tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
"Kemalangan berlaku ketika lori terbabit dalam perjalanan dari arah Krubong ke arah Nyalas.
"Setiba di Simpang Tiga Alor Gajah Lama, mangsa telah keluar dari simpang itu dan membelok ke arah kanan dan dalam masa sama lori terbabit tiba di tempat kejadian dan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan kenderaan mangsa.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.