Ketahui hak anda sebagai pekerja

Iklan
Sejumlah 20 kenderaan terdiri kalangan majikan dan penganjur, menyertai Kembara Kerjaya Pahang 3.0.

KUANTAN - Pekerja yang ingin mendapatkan maklumat sebarang salah laku perburuhan boleh hadir berbuat demikian di Kembara Kerjaya 3.0 Pahang 2019 pada 8 hingga 10 Mac ini.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Pahang (JTKP), Pazman Che Husin berkata, ini termasuk maklumat mengenai pembayaran gaji, tunggakan, tuntutan perjalanan mahupun kerja lebih masa dan lain-lain yang tidak menepati peruntukan di bawah Akta Pekerja.

Iklan
Iklan

"Kembara Kerjaya 3.0 ini akan berlangsung di tiga daerah di negeri ini bermula Rompin, Muadzam Shah dan Temerloh. Ini susulan kejayaan dua program sebelumnya, iaitu Kembara Kerjaya Felda 2017 yang telah dijalankan di Jengka, Chini Timur 3, Keratong 2, Keratong 8, dan Bera serta Kembara Kerjaya 2.0-2018 yang diadakan di Jerantut, Kuala Lipis dan Bentong.

"Selain dibuka kepada pencari kerja, kita juga membuka ruang kepada pekerja yang mempunyai masalah dengan majikan untuk mengemukakan persoalan dan aduan atau mendapatkan maklumat. Setiap pekerja dilindungi di bawah undang-undang dan perlu mengetahui hak mereka.

Iklan

"Hadir dan temui kita di lokasi. Kita akan semak dan jalankan siasatan terhadap aduan tersebut bagi mendapatkan penyelesaian kedua dua pihak, iaitu majikan dan pekerja," katanya pada sidang media program tersebut di Pusat Transformasi Bandar UTC di sini.

Pazman (kanan) pada acara pelepasan kembara di UTC hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Akademik dan Industri Politeknik Muadzam Shah, Dr Abd Rahim Awang dan Pengarah Program Kembara Kerjaya, Haris Fadillah Hassan.

Iklan

Pazman berkata, sejumlah 4,896 kekosongan pekerjaan ditawarkan dalam kembara tahun ini meliputi industri pembuatan (2,554), pengangkutan dan penyimpanan (945), perdagangan borong runcit dan pembaikan kenderaan (231), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makan minum (371), kewangan, insurans dan takaful (252) dan bakinya pertanian, perhutanan dan perikanan serta aktiviti profesional dan pentadbiran.

Menurutnya, majikan yang terlibat pada tahun ini terdiri kalangan luar dan dalam Pahang dengan syarikat Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd menawarkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 945, diikuti UG Global Resources Sdn Bhd dan Top Glove Sdn Bhd dengan masing-masing 732 jawatan.

Beliau berkata, program anjuran JTKP dan Pusat Jobsmalaysia Pahang (JMC) ini, merupakan satu manifestasi peranan dan usaha mereka dalam merakyatkan perkhidmatan kepada masyarakat di bandar kecil.

"Ini juga sebagai satu langkah dalam memberi peluang pekerjaaan yang sama rata kepada pencari kerja antara bandar dan luar bandar.

"7 Mac adalah hari pelepasan konvoi bermula di UTC, manakala pada 8 Mac kembara berada di Dewan Majlis Daerah Rompin diikuti Dewan Sri Gading Politeknik Muadzam Shah pada 9 Mac. Hari terakhir kami akan berada di Dewan Tun Razak Temerloh," katanya.

Sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan 6,944 pencari kerja berdaftar yang direkodkan JobsMalaysia Pahang di tiga daerah tersebut, dijangka akan dipenuhi.

Berdasarkan rekod penganjuran terdahulu, sebanyak 468 penempatan pekerjaan berjaya dibuat pada 2017 manakala 736 pada 2018.