KUALA LUMPUR - Harapan yang tinggi diletakkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang akan bermula pada Selasa, dengan semua mata tertumpu pada dua isu panas berkaitan rantau Asia Tenggara.
Pertama ialah keputusan ASEAN untuk mengecualikan ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing daripada sidang kemuncak serantau itu yang telah menimbulkan persoalan apakah blok berusia 54 tahun itu telah bersedia memikirkan kembali prinsipnya yang tidak campur tangan dalam urusan negara anggota.
Felow Kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Thomas Daniel, bagaimanapun meragui bahawa ASEAN akan menilai semula prinsipnya dalam masa terdekat, dan tanpa prinsip itu ASEAN tidak akan bertahan hingga sekarang dan berkembang dengan melibatkan semua 10 negara anggota.
"Bahkan negara-negara yang aktif menyokong langkah mengecualikan junta daripada sidang kemuncak itu tidak akan menolak prinsip tidak campur tangan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Timbul persoalan adakah prinsip tidak campur tangan sebenarnya dapat diterapkan dalam situasi itu, kerana apa yang berlaku di Myanmar memberi kesan kepada anggota ASEAN, terutama kemasukan pelarian ke negara jiran yang juga anggota blok itu.
"Terdapat risiko bahawa keganasan yang berterusan dan keengganan negara itu melaksanakan Konsensus Lima Perkara sebenarnya boleh menjejaskan kualiti libat urus ASEAN sebagai sebuah blok dengan beberapa rakan dialog dan organisasi antarabangsa. Jadi saya tidak fikir prinsip tidak campur tangan benar-benar boleh berperanan sebanyak itu dalam hal ini," katanya.
Sejak kerajaan pilihan rakyat Aung San Suu Kyi digulingkan junta pada 1 Februari, berlaku rusuhan dalaman di Myanmar dengan hampir 1,000 orang awam terbunuh oleh pasukan keselamatan.
Dalam mesyuarat menteri luar ASEAN yang diadakan secara maya pada 15 Oktober, blok serantau berkenaan mengambil langkah berani untuk mengecualikan junta Myanmar daripada sidang kemuncak itu. ASEAN juga menolak permohonan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUJ), untuk menyertai sidang kemuncak itu. Blok itu sebaliknya memutuskan menjemput wakil bukan politik untuk mewakili negara berkenaan.
Menurut Thomas, langkah itu adalah keputusan penting melibatkan proses yang sangat panjang dan rumit dalam berurusan dengan Myanmar dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai evolusi ASEAN.
"ASEAN sentiasa berusaha memberikan dorongan. Saya berpendapat, ketika ini, sesetengah negara anggota berasakan sudah tiba masanya untuk ASEAN mengambil tindakan," jelas pakar dalam Program Kajian Dasar dan Keselamatan Luar Negeri itu.
Perkara kedua ialah mengenai Pakatan Strategik Keselamatan Baharu Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS), katanya perkara yang ingin dilihat adakah pengerusi ASEAN, Brunei, dapat membuat semua negara anggota sehaluan dalam mengeluarkan kenyataan mengenainya, dan melihat hanya Malaysia dan Indonesia yang telah menyuarakan kekhuatiran bahawa ia boleh membawa kepada perlumbaan persenjataan serantau.
AUKUS yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada 15 September, akan membolehkan perkongsian kekuatan pertahanan yang lebih besar termasuk membantu melengkapkan Australia dengan kapal selam berkuasa nuklear.
"Sekarang perlu diingat bahawa sebaik sahaja pengumuman (AUKUS) terdapat laporan Indonesia cuba mahu ASEAN mengadakan petemuan dan mengeluarkan kenyataan. Namun, ia jelas tidak berhasil, kerana terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan negara anggota mengenai AUKUS," katanya.
Ditanya sama ada AUKUS adalah rahmat tersembunyi bagi negara-negara di zon litoral yang tidak berpuas hati dengan penguasaan China di Laut China Selatan, Thomas bersetuju bahawa beberapa negara di Asia Pasifik telah mengeluarkan kenyataan yang menyambut baik kerjasama itu.
Beliau juga mencadangkan agar ASEAN mengekalkan pemusatannya dan benar-benar kekal bersatu untuk melindungi kepentingannya dalam mengekalkan Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). - Bernama