Usul ungkai tujuh Ordinan Darurat diluluskan

Iklan
Mohd Rashid meluluskan usul itu menerusi undi suara selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul untuk mengungkai tujuh Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antara 11 Januari hingga 1 Ogos lalu.

Tujuh Ordinan Darurat itu adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Iklan
Iklan

Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon meluluskan usul itu menerusi undi suara selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Iklan

Usul berkenaan sebelum itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ia dibahaskan seramai 17 ahli Parlimen iaitu Kulim Bandar Baharu (PH), Ipoh Barat (PH), Tebrau (Bebas), Sepang (PH), Dungun (Pas), Batang Lupar (GPS), Ipoh Timur (PH), Tumpat (Pas), Pasir Gudang (PH), Bukit Bendera (PH) dan Pulai (PH).

Iklan

Turut berbahas, Ahli Parlimen Setiawangsa (PH), Padang Serai (PH), Pokok Sena (PH) dan Simpang Renggam (PH), Selayang (PH) dan Papar (Warisan).

Penggulungan perbahasan itu dilakukan enam kementerian membabitkan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan.

Wan Junaidi menjadi menteri terakhir menggulung usul itu sebelum ketetapan dibuat.