PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai lapan pasukan membabitkan nilai keseluruhan RM2,517,959.40.
Memetik laporan Berita Harian, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, inisiatif itu diambil sebagai sebahagian usaha badan induk berkenaan meringankan beban individu yang terbabit dengan masalah tunggakan gaji.
"Tunggakan pasukan PDRM sudah dikreditkan terus ke akaun individu terbabit pada 19 Februari 2019. Bagi pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC (bayaran dibuat) Selasa lalu dan untuk Terengganu City FC, ianya dilakukan hari ini,” kata Stuart menerusi satu kenyataan hari ini.
"Untuk tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu Felda United, Hanelang FC dan Marcerra United berjumlah RM1,339,359.40, ia dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan dalam beberapa minggu lagi.
"Bayaran ini menggunakan wang deposit dan lain-lain yang dipegang oleh persatuan ini dan ia adalah sebahagian usaha bagi meringankan beban individu yang terbabit."
Bagaimanapun, Stuart berkata bayaran itu tidak bermakna kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai sudah pun selesai sepenuhnya dan pasukan berkenaan harus melunaskan tunggakan yang masih ada.
"Jumlah tunggakan yang dinyatakan ini adalah berdasarkan jumlah wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM ke atas setiap pasukan yang terbabit. Baki tunggakan gaji pemain dan pegawai yang masih ada perlu diselesaikan oleh pasukan berkenaan.
"FAM turut berharap supaya pasukan berkenaan menghargai usaha ini yang dilakukan bagi mengurangkan sebahagian tunggakan yang perlu dijelaskan. Pasukan juga perlu ada rasa tanggungjawab untuk selesaikan bakinya," katanya.