SHAH ALAM - Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berpandangan bahawa Malaysia masih belum belajar dari negara-negara antirasuah seperti China, Indonesia dan Singapura dalam membasmi kegiatan rasuah secara habis-habisan.
Menurut beliau, negara-negara luar melawan budaya rasuah tanpa prejudis kepada pihak-pihak tertentu.
"Tetapi Malaysia ini tidak nampak kesungguhannya. Sesiapa yang ditangkap kerana rasuah itu, boleh dilepas, tetapi ikan-ikan bilis (pelaku rasuah kecil) mereka tangkap, ikan jerung (pelaku rasuah besar) itu mereka lepas.
"Itu sebabnya, rasuah tidak boleh dihapuskan di Malaysia kerana orang-orang berpangkat besar yang makan rasuah itu tidak diambil tindakan dan dilepaskan.
"Ini juga sebabnya mengapa kita tengok rasuah itu perlu dibendung secara habis-habisan,” katanya pada program Mak Untuk Malaysia (MUM): Srikandi Khazanah Alam yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Dalam program yang dihoskan Abby Fana itu, Shariffah Sabrina berkata, kerajaan perlu memandang serius berhubung isu rasuah terutamanya membabitkan kegiatan pembalakan serta perlombongan.
Menurutnya, terdapat banyak unsur rasuah yang melibatkan aktiviti berkenaan dan ia akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar itu sendiri sekiranya kerajaan tidak menangani perkara tersebut.
"Saya nampak memang banyak unsur-unsur rasuah terutamanya dalam pembalakan dan perlombongan.
"Jadi saya harap kerajaan memandang serius isu ini kerana ia akan memberi kesan kepada alam sekitar kita kalau kerajaan tidak membendung rasuah,” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut disarankan supaya meletakkan hukuman penjara dan denda yang tinggi kepada pelaku rasuah jika betul-betul mahu memerangi rasuah.
"Seperti yang saya cakap, yang pelaku rasuah besar tadi masih belum masuk penjara, yang kecil-kecil semua ditangkap.
"Tetapi kalau kena orang yang betul-betul kena tangkap, mungkin yang lain-lain akan takut.
"Malah pemberi rasuah pun akan takut. Jadi dua-dua sepatutnya ditangkap, pemberi dan penerima rasuah,” tambahnya.