Video exco tular: MB akan beri nasihat

Iklan
Amiruddin (tiga kanan) melancarkan program Jelajah Depavali Keadilan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa di sini pada Isnin.

KLANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan memberi nasihat kepada semua pihak yang terlibat dalam video dikatakan membabitkan seorang exco kerajaan negeri dan kumpulan penjawat awam yang tular di media sosial.

Amirudin mengakui, kaedah penyampaian yang digunakan exco kerajaan negeri terbabit dalam mengetengahkan isu rakyat menerusi video yang tular itu perlu diperbaiki.

Iklan
Iklan

"Kaedah, cara dan sebagainya itu harus diperbaiki dan saya akan sampaikan nasihat kepada mereka yang memerlukan atau kepada yang terlibat.

"Isu besarnya ia dirakam di media sosial tetapi kalau berlaku dalam mesyuarat (exco) pun akhirnya itu juga yang dilontarkan," katanya.

Iklan

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program Jelajah Deepavali Keadilan di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, di sini pada Isnin.

Pada Isnin, tular video di media sosial didakwa membabitkan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau.

Iklan

Dalam video berkenaan, Ganabatirau dilihat 'memaki hamun' kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) malah video itu turut didakwa dimuat naik sendiri exco terbabit.

Berikutan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terkilan dengan tindakan individu dalam video berkenaan yang disifatkan tidak profesional.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat turut menganggap tindakan individu terbabit yang mengeluarkan kata-kata kesat serta suara tinggi terhadap penjawat awam juga sangat keterlaluan.

Mengulas lanjut, Amirudin percaya semua pihak yang terbabit ingin bekerja bersungguh-sungguh dan mereka perlu diharmonikan di antara satu sama lain.

"Yang pentingnya kita ke arah penyelesaian masalah banjir bukan untuk menuding jari antara satu sama lain.

"Saya percaya itu bukan hasrat sebenar tetapi niatnya (exco terbabit) adalah untuk pastikan isu (banjir) ini dapat ditangani sebaik mungkin," katanya.

Amirudin berkata, isu yang diketengahkan itu adalah isu yang patut diteliti iaitu isu perlaksanaan pam dan sebagainya.

"Penduduk bertanyakan kepada mereka (exco terbabit) berulang kali kenapa hal ini berulang sedangkan kita (kerajaan negeri) sudah mengambil langkah-langkah seterusnya.

"Jadi, saya percaya ia harus diselesaikan dengan tujuan kita ingin menyelesaikan masalah banjir yang berulang kali di satu-satu tempat atau lokaliti.

"Kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan yang besar namun kenapa hal itu masih berlaku dan kenapa ia berulang serta perlu penjelasan antara satu sama lain dan ini memerlukan senergi berterusan di antara semua pihak," katanya.