SHAH ALAM - Pemuda UMNO dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mencapai persetujuan untuk mewujudkan kerjasama strategik jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan pembelaan kepada pekerja penghantaran makanan (p-hailing).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama tersebut akan melibatkan isu berkaitan hak pekerja, perlindungan dan keselamatan sosial terhadap kumpulan penggerak ekonomi gig tersebut.
Iklan
Iklan
Menurutnya, memorandum mengenai cadangan dan penambahbaikan berkaitan isu penghantar p-hailing juga telah diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam pertemuan yang diadakan pada Isnin.
"Semoga pertemuan ini dapat menjadi titik permulaan kerjasama baik antara Pemuda UMNO dan Perkeso dalam kita memastikan hak pekerja terus diutamakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, menerusi pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu, Perkeso bersama Pemuda UMNO juga bersetuju mengadakan kolaborasi strategik bersama bagi pendaftaran Skim Bencana Pekerjaan SPS Lindung Perkeso kepada pekerja p-hailing di 191 kawasan Parlimen di seluruh negara.
"Perkeso juga bersetuju menyediakan platform penempatan pekerjaan melalui penjana kerjaya 'MyFuture Jobs' yang bakal memberi manfaat kepada anak muda di seluruh Malaysia melalui 'One Stop Centre' yang akan dikelolakan bersama oleh Pemuda UMNO.
"Program insentif ini akan merangsang permintaan pekerjaan dalam kalangan majikan serta meningkatkan peluang pekerjaan buat rakyat terutamanya orang muda,” katanya.