'Kami tak jual kerang-kerangan Sungai Geting'

Iklan
Nik Ramlah hanya mampu berputih mata apabila barangan jualan langsung melibatkan kerang-kerangan tidak dibeli.

TUMPAT - Peniaga kerang-kerangan di sekitar Pantai Sri Tujuh di sini menegaskan makanan laut yang dijual seperti tiram, lokan, kepah dan lala bukannya dari kawasan Sungai Geting yang dicemari toksin saraf atau saxitoxin daripada alga berbahaya iaitu alexandrium minutum.

Walaupun jarak lokasi di antara dua kawasan itu hanyalah beberapa kilometer sahaja namun kerang-kerangan yang dijual di Pantai Sri Tujuh selamat untuk dimakan.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga, Nik Ramlah Nik Yusof, 55, berkata, kesemua kerang-kerangan yang dijual di gerainya adalah hasil yang dikutip dari kawasan sungai berhampiran Pantai Sri Tujuh dan sama sekali tidak melibatkan lokasi tercemar itu.

"Ramai yang salah anggap sebenarnya dalam isu ini, kesemua kerang-kerangan yang kami jual ini selamat untuk dimakan dan bebas dari bahan tercemar.

Iklan

"Untuk maklumkan, kawasan aliran sungai di Pantai Sri Tujuh ini tidak bersambung dengan Sungai Geting," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, susulan salah faham itu, para peniaga kerang-kerangan terbabit mengalami kerugian akibat hasil jualan mereka tidak terjual dan berharap orang ramai tidak meragui kebersihan serta keselamatan kerang-kerangan yang dijual mereka.

**pullquote**

Fauziah menunggu kehadiran pelanggannya untuk mendapatkan kerang-kerangan yang dijualnya.

Iklan

Sementara itu, Fauziah Hussin, 77, mengakui dia sedikit lega apabila jualan hasil laut itu mula meningkat selepas orang ramai yakin kerang-kerangan itu bukan dari Sungai Geting.

"Alhamdulillah, sepanjang minggu ini, hasil jualan kerang-kerangan bertambah dan ia cukup positif buat kami.

"Jadi saya harap, masyarakat di luar sana supaya tidak ragu, kerana kerang-kerangan yang diambil dari kawasan sungai berhampiran Sri Pantai Tujuh selamat," katanya.

Sinar Harian 21 Oktober lalu melaporkan, Kerajaan Kelantan masih 'membekukan' aktiviti mencari hidupan air daripada spesies kerang di kawasan Sungai Geting, Tumpat buat masa ini selepas ia didapati tercemar dengan toksin saraf atau saxitoxin daripada alga berbahaya iaitu alexandrium minutum.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pembekuan itu bagi membolehkan Jabatan Perikanan Kelantan menjalankan siasatan lanjut berhubung tahap pencemaran ke atas kerang-kerangan di kawasan berkenaan.