KOTA BHARU - Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) akan menganjurkan Kelantan Exchange 2021 pada 11 hingga 13 Nov ini dalam usaha memartabatkan industri kraf dan kreatif melibatkan artis tempatan.
Presiden MCC, Nik Faiz Nik Mohd Amin berkata, program kali kedua yang dianjurkan ini adalah untuk membantu memelihara warisan dan budaya masyarakat Melayu terutamanya di negeri Kelantan.
Beliau berkata, untuk tahun ini, penganjurannya akan berlangsung di Hotel Grand Renai dengan penampilan lebih 50 artisan pelbagai kraf dari seluruh negeri.
"Kali ini kita akan tampilkan Pak Yong Negara iaitu Rosnan Abdul Rahman yang juga Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan bersama Arja Lee untuk persembahan Mak Yong nanti.
"Ini antara persembahan istimewa yang akan kita serikan sepanjang tiga hari berlangsungnya program berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Nik Faiz berkata, program berkenaan turut diserikan dengan tiga dialog yang melibatkan kerjasama bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan juga panel-panel terkemuka.
Menurutnya, untuk penganjuran kali ini, pihaknya mensasarkan lebih 500 pengunjung sehari berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
"Kelantan Exchange 2021 turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk badan bukan kerajaan antaranya Tourism Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan dan Yayasan Hasanah.
"Acara ini juga turut melibatkan pelbagai organisasi, antaranya Yayasan Jepun yang akan berkongsi ilmu tentang budaya dan kraf mereka. Semoga program ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat terutamanya pencinta budaya dan warisan," ujarnya.
Sementara itu, Nik Faiz berkata, mereka yang berminat untuk mendapatkan tiket dan meja malam gala boleh menghubungi talian hotline MCC menerusi 019-9385858 dan berharap dengan penganjuran ini dapat membantu mendidik masyarakat untuk lebih menyanjungi budaya ibunda.