KUANTAN - Seorang peminat pokok keladi hiasan ditipu sehingga terpaksa membayar lebih RM4,200 bagi mendapatkan tanaman itu yang dibeli pada harga RM140 secara dalam talian pada Ahad lalu.
Wanita berusia 36 tahun dan tidak bekerja itu tertarik dengan tanaman itu selepas melihat video iklannya melalui aplikasi Tiktok.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berminat untuk membelinya lalu berurusan dengan penjualnya melalui aplikasi Whatsapp.
Menurutnya, pada malam hari yang sama, mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM140 secara dalam talian melalui akaun bank atas nama seorang wanita.
"Hari berikutnya, mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat penghantaran meminta bayaran RM1,350.
"Bayaran itu dikatakan untuk kos penyemburan tanaman tersebut semasa penghantaran agar ia sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, mangsa akur dengan membuat bayaran seperti diminta secara berasingan melalui akaun bank atas nama individu berbeza pada hari yang sama.
"Pada petang hari itu, mangsa sekali lagi dihubungi dan diminta membuat bayaran RM2,750 untuk kos tambahan termasuk kos penjagaan pokok keladi hiasan itu semasa penghantaran.
"Tanpa sebarang curiga, mangsa membuat bayaran itu secara berasingan," jelasnya.
Beliau, tidak cukup dengan itu, suspek meminta lagi RM2,000 namun mangsa tidak membayarkan setelah timbul curiga dan syak dia telah ditipu.
"Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.