MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu langsung tidak mempersoalkan pendedahan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengenai masalah gangguan seksual yang pernah melanda kem terjun kebangsaan.
Menurut Ahmad Faizal, apa yang cuba disampaikan oleh beliau semalam adalah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pendedahan yang dibuat oleh Pandelela.
"Saya tidak langsung mempersoalkan apa yang diadukan oleh @pandelela_R (Pandelela). Apa yang saya katakan adalah untuk mengetahui lebih lanjut apa yang berlaku.
"Ini masalah serius. Kita kena pastikan persekitaran kita selamat untuk semua atlet. Lela saya bersama awak,” katanya dalam satu ciapan pada Selasa.
Pada Khamis, Pandelela telah menceritakan kembali masalah yang pernah melanda kem terjun kebangsaan berkenaan seorang bekas jurulatihnya yang didakwa suka membuat lawak lucah terhadap atlet negara.
Katanya, individu tersebut juga berdepan isu rogol melibatkan seorang penerjun negara beberapa tahun lepas.
Pendedahan oleh Pandelela itu dipercayai dibuat selepas tular satu video di sosial media menunjukkan seorang pelakon tempatan dengan tidak sensitif berkongsikan pengalamannya melakonkan babak rogol di sebuah rancangan televisyen baru-baru ini.