JOHOR BAHRU- Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik diri daripada kerajaan negeri Melaka sehingga menyebabkan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak boleh bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaliknya perlu menjadi calon Bebas.
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, akar umbi parti di negeri menolak pencalonan empat ADUN itu menggunakan tiket PKR kerana akan mencalarkan kredibiliti parti.
"Akar umbi PKR Johor tidak ingin lihat empat ADUN itu gunakan tiket PKR bertanding pada PRN Melaka. Tidak sesuai mereka bertanding atas parti kita (PKR) sebab Pakatan Harapan (PH) mendesak undang-undang antilompat parti.
"Jika parti terima mereka, ia bercanggah dengan desakan parti, lagipun PKR memang sudah lama terkesan dengan 'katak lompat' sebab itu undang antilompat parti perlu segera diwujudkan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PKR Cabang Tebrau di sini pada Selasa.
Pada 4 Oktober lalu, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang seterusnya membawa kepada pembubaran DUN Melaka ke-14.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Oktober mengumumkan penamaan calon PRN Melaka pada 8 November manakala undi awal pada 16 November dan hari mengundi 20 November.
Sementara itu, Wee Tse yang juga ADUN Bukit Batu berharap keputusan kerajaan melarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka dapat dikaji semula.
Katanya, ini kerana kaedah penggunaan kempen secara dalam talian tidak praktikal kerana kira-kira 70 peratus penduduk di Melaka merupakan penduduk desa yang dibimbangi akses internet akan menjadi penghalang.
Pada Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.