KUALA LANGAT - Projek Pembinaan jajaran Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Selangor sepanjang 93 kilometer (km) dari Banting ke Tanjong Karang dijangka siap menjelang Disember tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, hanya baki 10 kilometer di Tanjong Karang mengalami kelewatan dan dijangka siap pada 2024 disebabkan isu pengambilan tanah.
Menurutnya, projek bagi jajaran lain dijangka selesai mengikut waktu ditetapkan termasuk kes pengambilan tanah di Klang yang sedang dalam proses mahkamah serta dijangka selesai hujung November ini.
"Ada beberapa masalah menyebabkan projek mengambil masa untuk disiapkan seperti kos pengambilan tanah sekitar RM900 juta kini mencecah RM2 bilion.
"Kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk membantu skop yang dipertanggungjawab seperti isu tanah, masalah dan aduan penduduk, akan teliti serta cari penyelesaian," katanya sewaktu meninjau projek WCE di Kampung Seri Cheding, Teluk Panglima Garang pada Selasa.
Menurutnya, projek tersebut penting sebagai penghubung dan alternatif ke Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) bagi mengatasi isu kesesakan trafik selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi di sepanjang laluan pantai barat.
"Apabila ada lebuh raya, pembangunan ekonomi di sepanjang kawasan laluan tersebut akan meningkat.
"Saya sedang melihat pembangunan pusat lojistik di Sabak Bernam memandangkan perjalanan untuk ke Pelabuhan Klang lebih kurang sejam lebih sahaja. Jadi, tak perlu semua aktiviti berpusat di Pelabuhan Klang kerana melibatkan kos tinggi," katanya.
Selain itu katanya, pembukaan jalan baharu tersebut juga bakal menyumbang kepada sektor agropelancongan dan agro pertanian juga dijangka meningkat.
WCE sepanjang 233km mula dibina pada 25 Ogos 2014 dengan kos keseluruhan bagi pakej pembinaan di Selangor dan Perak adalah RM5.044 bilion.