Ratifikasi triti antarabangsa: Kerajaan dengar pandangan rakyat

Iklan
Kamarudin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa bersifat terbuka dan bersedia untuk mendengar pandangan serta maklum balas daripada orang ramai sebelum menandatangani dan meratifikasi sebarang triti antarabangsa terutamanya perkara-perkara melibatkan isu sensitif kepada rakyat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kerajaan akan sentiasa prihatin dengan mendengar, menghormati dan tidak membelakangkan pandangan rakyat dan pemegang taruh yang lain dalam hal meratifikasi sebarang triti antarabangsa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam proses menjadi ahli kepada mana-mana triti, terdapat ruang atau fasa yang menyaksikan pihak kerajaan melibatkan orang ramai bagi mendapatkan maklum balas.

"Sebagai contoh, semasa Malaysia menandatangani dan meratifikasi Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995. Kerajaan telah mengambil pendekatan seperti mesyuarat antara agensi yang terlibat bagi membincangkan cadangan untuk meratifikasi CEDAW.

Iklan

"Kerajaan juga mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh, akademia dan masyarakat madani bagi mendapatkan maklum balas dan berkongsi input yang diperoleh daripada mesyuarat antara agensi yang telah dijalankan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk mendapatkan pandangan orang ramai sebelum triti-triti antarabangsa diratifikasikan.

Iklan

Triti ditakrifkan sebagai persetujuan secara formal dan bertulis yang berpandukan undang-undang antarabangsa antara sesebuah negara dengan negara lain atau pertubuhan antarabangsa, merangkumi pelbagai bidang antaranya hak asasi manusia, keselamatan dan pertahanan, perdagangan serta perlucutan senjata.

Kamarudin berkata, kerajaan juga telah mewujudkan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri yang melibatkan tokoh-tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

"Selain itu, Dewan Rakyat telah bersetuju untuk mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Luar Negeri. Ini adalah instrumen dan kaedah-kaedah baharu untuk kita pastikan bahawa apa-apa triti sekalipun akan dapat pertimbangan daripada rakyat dan khususnya Parlimen yang mulia ini," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata, setakat ini kerajaan belum membuat keputusan untuk menandatangani apa-apa konvensyen atau triti berkaitan hak asasi manusia.

"Kerajaan akan sentiasa meninjau dan akan membuat keputusan apabila masa bersesuaian," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Husain Awang yang ingin tahu status dan pendirian kerajaan berhubung enam triti antarabangsa berkaitan hak asasi manusia yang dirancang oleh kerajaan pada 2018 untuk ditandatangani. - Bernama