SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang urusan dengan ejen dan pihak ketiga untuk pendaftaran Program Rekalibrasi.
Menurutnya, pendaftaran program ini boleh dibuat secara terus di laman web www.imi.gov.my
"Imigresen telah menerima maklumat dan pertanyaan berkenaan ejen serta pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi PATI kepada majikan.
"Tawaran ini dikatakan menyasarkan majikan yang ingin menggaji PATI dan kepada PATI yang ingin pulang ke negara asal dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, ada antara ejen dan pihak ketiga yang berselindung di sebalik nama NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan syarikat pembekal tenaga kerja bagi memancing majikan untuk menggunakan perkhidmatan mereka.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berurusan terus dengan Imigresen dan sentiasa mengikuti perkembangan serta pengumuman terkini tentang Program Rekalibrasi.
"Imigresen sentiasa membuat pengumuman dari masa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan www.imi.gov.my," katanya.