Kes saman Mat Sabu terhadap Harakah selesai

Iklan
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR - Kes saman bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu terhadap seorang kolumnis dan Ketua Pengarang Harakah serta satu pihak lagi berhubung dakwaan menerbitkan artikel berunsur fitnah di laman sesawang Harakahdaily, pada Selasa berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Noor Atiqah Abdul Rahman yang mewakili Mohamad berkata, pihak-pihak terlibat bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah itu dan penghakiman persetujuan telah direkodkan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika prosiding secara dalam talian pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Namun, terma penyelesaian tidak boleh didedahkan," katanya ketika dihubungi pemberita.

Kes itu masih di peringkat pengurusan kes dan belum dibicarakan.

Iklan

Perkara itu turut disahkan peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili kolumnis Roslan Shahir Mohd Shahir; Ketua Pengarang Wan Nordin Wan Yaacob dan penerbit laman sesawang itu yang juga akhbar cetak Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 28 Oktober 2020, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa pada 14 September 2020, kesemua defendan telah bersama dan berasingan menjatuhkan maruah dan mengaibkannya dengan menulis serta menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman sesawang Harakahdaily menerusi artikel bertajuk"Husam: PAN Parti Diktator".

Iklan

Ahli Parlimen Kota Raja itu mendakwa, kata-kata fitnah tersebut antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang diktator, menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya sebagai seorang presiden parti selain mendakwa plaintif seorang presiden yang hanya mengikut arahan dan telunjuk parti DAP.

Plaintif mendakwa kata-kata fitnah yang ditulis oleh defendan pertama (Roslan Shahir) menjadi sumber kepada defendan kedua (Wan Nordin) untuk melaporkan dan membenarkan artikel berkenaan diterbitkan di laman sesawang Harakahdaily.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah serta satu perintah bagi mengarahkan kesemua defendan memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan.

Defendan melalui pernyataan pembelaan difailkan pada 23 Disember 2020 mendakwa, mereka berada di bawah tanggungjawab politik dan moral untuk menerbitkan perkataan yang dilaporkan kepada masyarakat umum, khususnya kepada pengundi.

Mereka mendakwa masyarakat umum, secara khususnya pengundi adalah berhak dan mempunyai tanggungjawab sama untuk menerima komen itu memandangkan plaintif adalah seorang ahli Parlimen.

Defendan mendakwa, mereka tidak mempunyai niat jahat untuk mensensasikan berita dan meningkatkan jumlah pelawat laman sesawang https://harakahdaily.net, bahkan capaian laman sesawang itu adalah seperti biasa sebelum dan selepas penerbitan artikel berkenaan.- Bernama