KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer (PH) diarah keluar dewan selama 10 minit oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Selasa.
Tindakan itu selepas Rayer enggan mendengar arahan Azhar yang meminta ahli Parlimen pembangkang itu duduk.
"YB Jelutong, saya perintah kamu keluar 10 minit,” kata Azhar.
Rayer sebelum itu terbabit pertikaman lidah dengan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kira-kira 15 minit berhubung penggunaan bahasa Tamil.
Abdul Azeez sedang membahaskan mengenai Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021.
Dalam perbahasannya, Abdul Azeez menceritakan mengenai pengalamannya berkomunikasi menggunakan bahasa Tamil dengan seekor gajah jantan bagi memindahkannya ke Terengganu.
Bagaimanapun, Rayer kemudian bangun dan mempertikai Abdul Azeez dengan mendakwa ia menghina bahasa Tamil.
"Tuan Speaker, saya minta maaf. Saya minta Yang Berhormat Baling supaya tidak mengulangi perkataan itu kerana dia menghina bahasa Tamil.
"Mengatakan bahawa beliau boleh bercakap dengan gajah menggunakan bahasa Tamil adalah tidak logik langsung,” katanya.
Abdul Azeez kemudian menegaskan bahawa beliau tidak pernah menganggu Rayer berbahas sebelum ini.
"Saya tidak pernah ganggu Jelutong berbahas. Tolong, jangan ganggu saya. Saya tidak pernah kacau. Ini pengalaman saya. Kalau tak mahu dengar keluarlah,” kata Abdul Azeez.