Shafie Apdal desak kerajaan tangguh ratifikasi CPTPP

Iklan
Mohd Shafie (depan kiri) dan Abdul Halim (depan kanan) pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendesak kerajaan menangguhkan proses meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau berkata, ia perlu ditangguhkan sehingga semua pihak berkepentingan dirujuk dan bersetuju dengan pendekatan yang dicadangkan.

Iklan
Iklan

"Satu kajian yang mendalam juga perlu dibuat untuk mengenal pasti kebaikan dan keburukan perjanjian CPTPP ini dalam konteks perdagangan dan pelaburan Malaysia terkini.

"Saya berpandangan bahawa peruntukan-peruntukan perjanjian perdagangan mega ini perlulah diperhalusi sebaik mungkin dengan menekankan keperluan untuk mendapatkan perjanjian perdagangan yang bukan saja bebas, tetapi perlulah adil," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Anjung Melayu di sini pada Selasa.

Hadir sama, Presiden DPMM merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Abdul Halim Husin.

Iklan

Pada 20 September lalu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan bahawa Malaysia akan meratifikasi CPTPP dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong pada 13 Oktober lalu turut memaklumkan kerajaan telah mempergiatkan usaha bagi melengkapkan pindaan ke atas akta-akta yang berkaitan bagi membolehkan Malaysia meratifikasikan CPTPP.

11 negara yang telah menandatangani CPTPP adalah Malaysia, Jepun, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei, Vietnam, Chile, Kanada, Mexico dan Peru dengan tiga daripadanya iaitu Malaysia, Brunei dan Chile masih belum melakukan proses ratifikasi.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, rundingan yang ingin dimuktamadkan dalam CPTPP juga harus mengutamakan aspek perlindungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada ditindas berikutan lambakan barangan asing di pasaran Malaysia.

Menurutnya, kedaulatan negara juga perlu dijaga agar tiada peruntukan yang boleh menyebabkan negara disaman dengan sewenang-wenangnya oleh syarikat antarabangsa.

Kata beliau, perkara itu boleh terjadi kerana kerajaan masih mempunyai polisi yang mengutamakan perusahaan tempatan berbanding perusahaan asing.

"Tambah merisaukan kerana mengikut data yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari 37.2 peratus pada tahun 2011 kepada 45.3 peratus pada tahun 2015.

"Pegangan ekuiti bukan Bumiputera menurun dari 34.8 peratus kepada 30.7 peratus dalam tempoh yang sama. Pemilikan ekuiti Bumiputera turut jatuh dari 23.4 peratus kepada 16.2 peratus," katanya.

Justeru itu, Mohd Shafie menegaskan, seharusnya apa-apa polisi perdagangan yang ingin ditetapkan oleh kerajaan perlulah mengambil kira keperluan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti warga tempatan dan bukan hanya mengutamakan penambahan ekuiti perusahaan asing.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, DPMM konsisten menolak dan mendesak agar proses ratifikasi itu ditangguh kerajaan.

"Nisbah ketidaksaksamaan antara kaum dan wilayah yang masih tinggi memerlukan pelan tindakan serta hala tuju yang lebih terarah buat kaum Melayu di Semenanjung dan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"Ini terpaksa dilakukan demi memastikan jurang tersebut dapat dirapatkan dan mereka tidak tercicir dalam arus pembangunan atau dinafikan peluang untuk meraih nikmat serta kelebihan sebagai warganegara Malaysia," katanya.

Tegas beliau, walaupun Malaysia bergantung kepada hasil perdagangan, kedaulatan negara dan hak warganegara mesti didahulukan.

"Sekiranya CPTPP berkuatkuasa, maka sebarang usaha untuk merapatkan jurang tersebut bukan sahaja akan terlarang dan menjadi lebih sukar, bahkan tindakan-tindakan sedemikian boleh pula dicabar di tribunal antarabangsa oleh syarikat asing yang mahukan peluang serta keistimewaan yang sama dengan syarikat tempatan," katanya.