KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Asean dan Korea Selatan perlu mengukuhkan kerjasama dalam transformasi digital, bidang yang dapat merancakkan ekonomi blok serantau itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asean-Republik Korea ke-22 yang diadakan menerusi sidang video pada Selasa, beliau berkata, Korea Selatan dianggap sebagai peneraju dunia dalam teknologi digital dan aplikasi yang dapat memacu produktiviti.
Sidang berkenaan diadakan sempena Sidang Kemuncak Asean ke-39 dan ke39 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, dipengerusikan Brunei dengan tema"We Care, We Prepare, We Prosper”.
"Ekonomi digital rantau ini diunjur mencecah US$300 bilion menjelang 2025 apabila berjuta-juta penduduk memanfaatkan pembelian dalam talian, menggunakan khidmat penghantaran makanan serta perkhidmatan dalam talian yang lain,” katanya.
Berikutan itu, Ismail Sabri berkata, wujud keperluan bagi menangani ancaman jenayah siber yang dilihat semakin meningkat sejajar dengan digitalisasi.
Untuk itu, katanya, Cybersecurity Malaysia merancang inisiatif Pembangunan Profesional Keselamatan Digital dan Pembelajaran Berterusan ASEAN, bertujuan mengukuhkan kemampuan keselamatan siber bagi membantu menangani ancaman siber di rantau ini.
"Malaysia berharap akan mendapat sokongan Korea Selatan berkaitan cadangan program ini,” katanya.
Mengulas mengenai Covid-19, Perdana Menteri berkata, pandemik itu menyerlahkan peri pentingnya buat ASEAN dan Korea Selatan bagi menyelaras usaha secara berkesan menguruskan aspek darurat kesihatan awam serta dalam menangani kemunculan penyakit.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia mengalu-alukan inisiatif hub vaksin Korea Selatan kerana ia membolehkan rantau ini mendapat akses vaksin Covid-19 secara saksama, efektif, selamat dan mampu milik.
"Asean dan Korea Selatan juga boleh meningkatkan kerjasama dalam inisiatif bagi mengukuhkan sistem kesihatan awam,” katanya.
Malaysia turut menyuarakan penghargaan terhadap sumbangan Korea Selatan sebanyak AS$ 1 juta kepada Tabung Covid-19 Asean dan bantuan negara itu sebanyak US$5 juta bagi meningkatkan kapasiti projek pengesanan Covid-19 selain kesediaan negara berkenaan berkongsi maklumat serta amalan baik dalam menangani kesan pandemik. - Bernama