APM guna siren PWS jika sistem komunikasi tidak berfungsi

Iklan
Che Adam (dua, kanan) menunjukkan cara penggunaan siren PWS pada sesi uji lari di pekarangan padang kawat pejabat APM Pahang pada Selasa.

KUANTAN - Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pahang akan menggunakan siren Sistem Amaran Awam (PWS) sebagai alat menyampaikan amaran sekiranya sistem komunikasi tidak berfungsi.

Pengaranya, Kolenel Pertahanan Awam, Che Adam A Rahman berkata, disebabkan itu pihaknya menghidupkan semula siren PWS sebagai langkah berjaga-jaga.

Iklan
Iklan

"Kalau ikut perkembangan teknologi banyak teknologi baharu yang boleh digunakan, tetapi kita lihat sistem ini (PWS) masih relevan untuk diguna pakai dalam keadaan tertentu.

"Kalau satu hari nanti tiba-tiba sistem pemancar komunikasi kita rosak di seluruh negara, telefon dan teknologi tidak boleh digunakan untuk menyampaikan amaran kepada masyarakat, siren ini boleh kita menggunakan untuk menyampaikan amaran," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan latihan uji lari siren PWS, amaran bencana di pekarangan padang kawat pejabat APM Pahang, Beserah pada Selasa.

Iklan

Seramai 60 pegawai dan anggota dari APM Pantai Timur dan Ibu Pejabat APM terlibat dalam uji lari siren PWS itu.

Che Adam menjelaskan, bunyi siren tersebut boleh didengari oleh orang awam sekitar radius tiga hingga lima kilometer dan kebiasaannya alat itu ditempatkan di bangunan tinggi.

Che Adam menunjukkan risalah mengenai siren PWS yang akan diedarkan kepada masyarakat.

Iklan

Sehubungan itu, beliau mengingatkan warga Kuantan supaya tidak panik apabila mendengar bunyi siren ini kerana ia adalah latihan.

"Kita juga akan memberi pendedahan kepada orang awam mengenai tiga bunyi siren iaitu nada panjang yang berterusan. Nada ini menerangkan berlakunya gempa bumi, tanah atau bangunan runtuh serta kebakaran besar.

"Nada beralun dan berterusan pula melibatkan jenis kemalangan seperti banjir, tsunami, peperangan, ribut taufan, ancaman toksik, jerebu dan ancaman ketenteraman awam manakala nada pendek dan singkat membawa maksud ancaman tamat," katanya.

Jelas beliau, siren PWS digunakan sekitar 1960 sebagai satu sistem amaran serangan udara bagi menghadapi peperangan.

"Bermula 1970-an, siren PWS itu telah dipasang di lokasi strategik di bangunan pentadbiran kerajaan di beberapa negeri bagi memberi amaran kemungkinan ancamam dan bahaya kepada orang awam," katanya.

Ditanya mengenai kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut, Che Adam berkata, semua anggota APM giat menjalankan latihan sebagai persediaan menghadapi bencana.