KUALA LUMPUR - Dasar Kebudayaan Negara 2021 (Daken 2021) yang dilancar pada Selasa akan dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana menteri berkata, inisiatif menggubal Daken 2021 juga seiring dengan usaha menjadikan sektor seni, budaya dan warisan negara sebagai pemangkin sosioekonomi Keluarga Malaysia.
Beliau berkata dasar berkenaan menggariskan hala tuju Malaysia menjadi ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’ yang digubal berlandaskan lima prinsip Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.
"Kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan Daken 2021 ini sebagai usaha menjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara. Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara," katanya menerusi rakaman ucapan yang disiarkan pada majlis pelancaran dasar itu di Panggung Sari Kompleks Kraf, Jalan Conlay.
Ismail Sabri menjelaskan DAKEN memiliki tujuh teras iaitu budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya, pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya, penjanaan ekonomi kebudayaan dan kecemerlangan budaya.
Perdana menteri berkata, pada setiap teras itu, tersulam pembangunan modal insan secara konsisten merangkumi pendidikan seni, budaya dan warisan secara formal serta menerapkan pendidikan tidak formal sebagai usaha melahirkan para pelapis kepada penggiat seni, budaya dan warisan sedia ada.
Beliau berkata, penggubalan Daken adalah demi memastikan kelestarian budaya terus terjamin dan merupakan kesinambungan daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK 1971) sebelum ini dalam membentuk kebudayaan kebangsaan dan melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu.
"Dasar ini (DKK 1971) dijadikan panduan dalam membentuk dan mengekalkan identiti negara Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Hasilnya, sepanjang tempoh 50 tahun lalu, pelbagai pencapaian dalam arena seni, budaya dan warisan telah dicatat," katanya.
Menurut Ismail Sabri, sektor budaya memiliki potensi besar sebagai penjana ekonomi sejak dahulu, misalnya pada tahun 2019 apabila mencatatkan pendapatan RM585 juta berbanding RM542 juta, pada 2017.
"Kini, angka itu menunjukkan pemulihan yang meyakinkan sejurus negara memasuki era endemik Covid-19. Ekoran itu, kerajaan menetapkan sasaran perolehan sektor ini pada aras RM1 bilion menjelang tahun 2025 kelak," katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan menerusi MOTAC juga akan terus mempelbagaikan ikhtiar demi meningkatkan daya saing, visibiliti dan imej seni, budaya serta warisan negara sebagai teras kepada pembangunan yang seimbang.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menjayakan dasar tersebut, sekali gus mengembalikan reputasi ‘Malaysia Truly Asia’ ke persada sewajarnya. - Bernama