Tiga pemuda bertani, pasarkan sendiri hasil

Iklan
Tiga anak muda bersama hasil tanaman peria yang diusahakan di kawasan Lasah, Sungai Siput.

BIDANG pertanian tidak begitu popular dalam kalangan anak muda malah bukan menjadi pilihan kerjaya utama walaupun mempunyai potensi pendapatan lumayan.

Namun bagi tiga orang anak muda yang membentuk jenama Sepakat Niaga, kerjaya sebagai usahawan tani menjadi keutamaan mereka apabila berjaya bertahan lebih 10 tahun dalam bidang pertanian.

Iklan
Iklan

Khairul Faiez Ahmad Sani, 29, Shahizul Ahmad, 33, dan Hayadi Anuar Ahmad Sani, 37, mula menceburi bidang pertanian seawal tahun 2011 dengan mula menanam jagung.

Tiga anak muda bergabung menjadi usahawan tani mempunyai hasrat menjadi pelopor bidang pertanian di negara ini.

Melihat kepada perkembangan itu, tanaman sayuran lain mula disemai seperti timun, peria, terung dan beberapa jenis lagi untuk memenuhi permintaan pasaran.

Iklan

Menurut Hayadi Anuar, sebelum bergelar usahawan tani, dia bekerja di sektor perbankan di Kuala Lumpur namun berhenti kerja kerana minat mendalam terhadap bidang pertanian.

Jelasnya, sumber inspirasi dalam bidang pertanian itu adalah ayahnya, Ahmad Sani Hamzah, 57, yang turut mengusahakan tanaman pertanian.

Iklan

"Minat ini sebenarnya timbul sejak kecil lagi sebab ikut ayah ketika itu tanam ubi kayu. Jadi, untuk menyambung legasi itu, saya bersama-sama adik dan bapa saudara masuk dalam bidang ini.

"Alhamdulillah, sekarang ini kami berjaya lakukan sendiri semua bermula di peringkat kerja ladang sehinggalah pemasaran hasil dengan nasihat dan tunjuk ajar ayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bermula dengan kawasan seluas 1.2 hektar pada peringkat awal, kini keluasan tanaman sudah bertambah kepada 4.8 hektar yang sedang diusahakan di Lasah, Sungai Siput.

Hayadi Anuar

Jelasnya, kira-kira enam hektar lagi akan diusahakan untuk tanaman sayuran dengan fokus diberikan terhadap sayuran buah seperti timun, peria, terung dan labu.

Hayadi Anuar berkata, hampir kesemua kawasan yang diusahakan itu disewa daripada penduduk setempat dengan bayaran secara tahunan menggunakan modal sendiri.

Teroka tanaman tebu, pokok bidara

Bagi Khairul Faiez pula, menjadi usahawan tani memang menjadi idaman selepas menamatkan pengajian di Institut Pertanian Serdang kerana memikirkan potensi dalam bidang tersebut.

Menurutnya, dengan sokongan keluarga, dia kini memberi tumpuan kepada tanaman tebu dan pokok bidara yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

Bagi tanaman tebu, dia sedang memasarkan produk air tebu yang begitu mendapat sambutan malah tebu-tebu diperoleh dari penanam luar bagi memastikan permintaan dapat dipenuhi.

Khairu Faiez menunjukkan produk air tebu yang dihasilkan.

"Kini, saya sedang membangunkan tanaman pokok bidara yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya.

Khairul Faiez berkata, dalam masa enam bulan diusahakan, sebanyak 8,000 pokok telah terjual dan setakat ini terdapat kira-kira 5,000 pokok sedang disemai untuk pasaran tempatan.

Khairul Faiez menunjukkan anak pokok bidara yang disemai sebelum dijual untuk pasaran di negara ini.

Dengan kejayaan itu, dia menyasarkan 100,000 pokok untuk ditanam di kawasan seluas 0.2 hektar pada tahun ini dan sekali gus menjadi pembekal utama pokok bidara di negara ini.

Seperti abangnya, Hayadi Anuar yang bermula dengan tanaman jagung, dia mengakui kerjaya sebagai usahawan tani mempunyai masa depan cerah dengan pendapatan lumayan.

Shahizul

Menurutnya, 0.4 hektar tanaman bagi satu musim mampu menghasilkan pendapatan sekitar RM18,000 hingga RM30,000 bergantung kepada jenis tanaman.

Impian jadi pelopor utama bidang pertanian

Dalam pada itu, Shahizul yang lebih menumpukan kepada bidang pemasaran hasil pertanian pula berkata, mereka kini berjaya menjadi pembekal produk pertanian terutama sayur-sayuran.

Menurutnya, bukan sahaja bagi pasaran dalam Perak tetapi di luar Perak juga berjaya ditembusi menerusi jualan di pasar raya bersama bersaing dengan pemain lain dalam industri pertanian ini.

Sepakat Niaga mempunyai hampir 12 hektar kawasan tanaman di Sungai Siput.