Lelaki OKU mental tiada kad bank perlu bantuan

Iklan
Keadaan bilik tidur Rosli yang tidak terurus di kediaman sementaranya itu.

MACHANG - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang menjalani kehidupan dengan bantuan saudara maranya di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong kini memerlukan perhatian apabila rumah didiaminya pula sudah terlalu usang.

Ibu bapa kepada Rosli Daud, 63, sudah meninggal dunia lebih 30 tahun lalu dan sejak itu lelaki berkenaan tinggal di rumah pusaka itu seorang diri.

Iklan
Iklan

Menurut sepupunya, Rokiah Bardan, 59, lelaki itu kini hanya mendiami dapur kerana bahagian lain sudah rosak.

"Rosli menjalani kehidupan dengan bantuan saudara mara terdekat untuk makan dan minum serta pakaiannya. Dia juga ada menerima derma daripada orang ramai.

Iklan

"Masalahnya, Rosli tidak mempunyai kad bank sendiri dan ia menyukarkan pelbagai pihak untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada dia. Puas kami pujuk, nak bawa ke bank tetapi dia tidak mahu pergi. Jadi, Kami memang sangat berharap ada pihak boleh bantu untuk selesaikan masalah membuat kad bank," katanya.

Walaupun serba kekurangan, namun dia cuba untuk tidak menyusahkan orang sekeliling dan hidup dalam dunia sendiri.

Sebelum itu keluarga berkenaan dikunjungi oleh Ketua Unit Media dan Komunikasi Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Akidi Hamid.

Iklan

Menurut Rokiah, sepupunya itu mempunyai seorang adik angkat perempuan yang kini berada di Kota Bharu dan sedang membina sebuah rumah di sebelah tapak asal rumah pusaka yang didiami Rosli sekarang ini.

Katanya, apabila rumah berkenaan siap, adik angkat Rosli itu akan berpindah ke rumah tersebut dan menjaga Rosli.

Rosli juga sentiasa meninjau penduduk kampung menyiapkan rumahnya.

"Rumah tersebut sudah lama dibina tetapi beberapa kali terbengkalai akibat kekurangan wang untuk menyiapkannya. Penduduk kampung berpakat akan mengadakan gotong royong untuk menyiapkan rumah ini.

"Cuma kami masih memerlukan dana lebih kurang RM20,000 untuk kerja-kerja akhir menyiapkan rumah ini. Hanya 30 peratus yang belum siap. Kami berharap, apabila rumah ini sudah siap, dia dapat hidup bersama adik angkatnya untuk kehiduan lebih baik kerana sudah ada penjaga," katanya.

Dalam pada itu,orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi wakil penduduk yang juga pemegang amanah untuk menguruskan Rosli iaitu Aidil Akram Harun di talian 016- 3903515.