GENEVA - Krisis Covid-19 masih belum dapat diselesaikan dan pengakhirannya masih lagi jauh, kata Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.
Jawatankuasa itu dianggotai oleh 19 anggota dan bertemu setiap tiga bulan sekali bagi membincangkan dan membuat beberapa cadangan untuk menbendung penularan pandemik tersebut.
Menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, analisis terkini menunjukkan pandemik tersebut masih lagi jauh untuk diselesaikan dengan menyatakan Afrika berdepan cabaran untuk menghalang penularan Covid-19.
Ia menyatakan bahawa Afrika berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan akses bagi mendapatkan bekalan vaksin, ujian dan rawatan termasuk mengumpulkan serta menganalisis data bagi memantau evolusi pandemik.
Jawatankuasa itu juga mendesak ujian dilakukan dengan lebih lanjut antaranya ialah tentang penggunaan pelitup muka yang sudah digunakan dan alat bantuan pernafasan dan vaksin generasi masa depan bagi tempoh jangka panjang.
Ia turut menyatakan bahawa penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal, kebersihan tangan dan memperbaiki ruang pengudaraan di dalam bangunan memainkan peranan penting untuk mengurangkan Covid-19.
Jawatankuasa itu mengisytiharkan buat pertama kali pada 30 Januari lalu bahawa Covid-19 ialah satu isu kecemasan kesihatan awam dan menimbulkan kebimbangan antarabangsa.
Ia turut mendesak supaya negara-negara mengiktiraf semua vaksin yang telah diiktiraf oleh WHO untuk digunakan kepada penduduk dunia. - AFP