BUKOBA - TANZANIA. Seorang guru di Tanzania dijatuhi hukuman gantung setelah memukul seorang pelajar hingga mati ketika memaksanya mengaku mencuri beg tangan.
Respicius Patrick Mutazangira, 51, didapati bersalah membunuh Sperius Eradius, seorang pelajar berusia 14 tahun pada Ogos tahun lalu.
Menurut laporan mahkamah, Sperius dipukul dengan kayu selama tiga jam dan meninggal dunia akibat 'kejutan neurogenik' yang kebiasaannya disebabkan oleh trauma di bahagian otak atau kecederaan tulang belakang.
Hakim yang menjatuhkan hukuman berkata, Mutazangira mempunyai niat jahat ketika memukul pelajar terbabit dan harus dihukum atas kesalahannya.
Sementara itu, pemilik beg tangan yang dicuri, Helieth Gerald yang juga seorang guru didapati tidak terlibat dalam pembunuhan terbabit.
Mutazangira yang pengsan ketika hukuman dibacakan akan diberi peluang membuat rayuan, namun pihak pembelaan masih belum membuat sebarang kenyataan.
Kali terakhir Tanzania menjalankan hukuman mati adalah pada 1994. - Dailymail