Lelaki alami tekanan emosi pecah cermin 12 buah kereta

Iklan
Rakaman video menunjukkan lelaki terbabit memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan sebatang besi di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting pada pagi Selasa.

KUALA LANGAT - Seorang penganggur ditahan kerana bertindak memecahkan cermin 12 buah kereta yang diletakkan di sebuah lot parkir di hadapan Public Bank, Jalan Sultan Abdul Samad, Banting di sini pada pagi Selasa.

Sebuah klip video berdurasi 11 saat yang memaparkan lelaki berusia 39 tahun tersebut menghayun sebatang besi ke arah cermin bahagian depan salah sebuah kereta terbabit turut tular di media sosial.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, suspek dipercayai mengalami tekanan emosi.

"Pemilik kenderaan melihat seorang lelaki memegang sebatang besi dianggarkan sepanjang satu meter telah memecahkan tingkap cermin hadapan kereta miliknya. Suspek kemudian beralih ke kereta lain dan melakukan perbuatan sama.

Iklan

"Semakan awal mendapati suspek pernah dirawat sebagai pesakit mental tetapi sudah lama tidak menerima rawatan psikiatri dari mana-mana hospital sakit jiwa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.

Iklan

"Semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki tiga rekod atas kesalahan narkotik, bagaimanapun ujian saringan awal air kencing didapati negatif," ujarnya.

Menurutnya, suspek ditahan oleh anggota polis bersama batang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Setakat ini polis menerima lima laporan daripada pemilik kereta yang mengalami kerugian daripada kejadian tersebut.

"Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat," kata beliau.