KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi melengkapkan siasatan kes kematian seorang pegawai bomba yang lemas dalam operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Melaka pada 20 Oktober lalu.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jawatankuasa itu dianggotai lima ahli terdiri daripada empat pegawai bomba seorang pakar perubatan.
Menurutnya, siasatan menjurus kepada dua elemen utama dalam kemalangan tersebut iaitu pengurusan keseluruhan operasi dan pengurusan segera terhadap mangsa.
"Kami akan memberi fokus kepada kawal dan perintah, penilaian terhadap risiko dibuat dan pengurusan panggilan dilaksanakan serta perawatan awal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB)Siri 1/2021 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah JBPM Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Nor Hisham berkata, pihaknya sedang menunggu hasil penemuan siasatan itu untuk tindakan selanjutnya.
"Sekiranya ada perkara yang perlu pembaikan, kami akan tambah baik dan perkukuhkan lagi," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang anggota JBPM Melaka Tengah, Mohd Diya Che Jusoh, 46, lemas ketika melakukan kerja-kerja penyelamatan mangsa banjir.
Mangsa yang tidak sedarkan diri ketika diselamatkan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka sehari kemudian.
Sementara itu katanya, JBPM memberi tumpuan khusus kepada enam negeri dalam menghadapi Monson Timur Laut mengikut tempoh berbeza-beza sebagaimana ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi.
Nor Hisham berkata, negeri terlibat Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.
"Kerisauan utama dalam fasa ini antaranya luruan tropika dengan tumpuan taburan hujan tinggi di satu-satu kawasan seperti yang berlaku di daerah Maran dan Raub tahun lalu.
"Kadar hujan yang terlalu lebat menyebabkan saliran sedia ada tidak dapat tampung larian air hingga berlaku limpahan dan banjir.
"Kami akan pantau keadaan itu secara rapat untuk tindakan segera jika berlaku limpahan air," katanya.