MELAKA - [DIKEMAS KINI] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyatakan hasrat akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, untuk itu, pihaknya kini berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi meletakkan calon Muda pada PRN berkenaan.
"Muda telah pun membuat pendirian tetap untuk bertanding pada PRN negeri (Melaka) ini. Kita akan berunding dengan parti-parti (PH) dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat.
"Kami mahu meletakkan nama kami sebagai sebuah parti yang berhasrat untuk bertanding bersama dalam semangat blok pembangkang untuk membawa perubahan yang jelas," katanya dalam sidang akhbar mengenai PRN Melaka di sini pada Rabu.
Muda yang ditubuhkan Syed Saddiq pada 17 September tahun lepas bagaimanapun belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai parti politik.
Semasa ditanya pemberita sama ada Muda akan bertanding dibawah tiket PH memandangkan parti itu masih belum disahkan pendaftarannya, Ahli Parlimen Muar itu berkata, perkara itu masih dibincangkan.
Beliau berkata, pihaknya akan mengetengahkan calon muda yang dinamik, berpengalaman dan mempunyai trek rekod perkhidmatan yang baik bagi PRN itu.
"Saya difahamkan PH juga sedang berbincangkan logo apa yang bersesuaian. Tetapi (apa) yang jelas, mana-mana gabungan yang kita sertai, kita perlu tekankan tiga perkara iaitu politik berbilang bangsa dan agama, politik moderate dan dasar serta politik khidmat.
" Kita tolak politik katak, politik tidak berintegriti yang bersandarkan pangkat dan jawatan semata-mata,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama