KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi yang meninggal dunia pada Selasa.
Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang yang juga bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
Iklan
Iklan
"Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negeri Sabah dan negara," menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik menerusi Facebook.
Mendiang Guan Dee yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada parti tersebut.
Guan Dee, 67, meninggal dunia pada 4.50 petang Selasa di Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sakit dada.
Presiden STAR Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata, Guan Dee berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) pada petang Ahad (24 Oktober) namun tidak menghadiri mesyuarat itu selepas disahkan positif Covid-19. - Bernama